Tuesday, 18 December 2018

ADUN Batu Buruk Usaha Atasi Masalah Banjir Kilat

SHARE
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi  menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir. 
Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU ,17 Disember - Kerajaan negeri dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan akan mengambil tindakan segera mengatasi masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk di negeri Terengganu khususnya sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk  setiap kali musim hujan lebat melanda.

ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata banjir kilat yang sering berlaku setiap kali hujan dikatakan berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna yang menyekat pengaliran air keluar.

Jelasnya lagi, Pejabat ADUN  sudah mengambil tindakan awal sebelum bencana ini berlaku dengan membuat surat aduan kepada jabatan berkenaan.

“Seperti di Kampung Binjai Chendering, kami sudah mengambil tindakan awal dengan sudah membuat surat aduan kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran(JPS) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu(MBKT).

“Hasilnya ada tindakan sudah  dibuat dan ada juga yang belum tetapi dalam proses perlaksanaan, oleh itu saya berharap pihak berkaitan segera mengatasi masalah yang dihadapi penduduk terbabit,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Chendering, di sini hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Raja Baran, Tuan Ngah Tuan Ahmad; Pengerusi MPKK Kampung Aur, Che Ku Marzuki Che Ku Dalam; Pengerusi MPKK Kubang Ikan, Azmi Yusof, Pengawai-Pegawai Angkatan Pertahanan Awam(APM) dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri berkata sebagai masyarakat beragama islam, mereka perlu bersabar kerana ia adalah sebahagian ajaran agama islam apabila ditimpa musibah.

“Kita bersabar apabila ditimba musibah kerana itu diajar oleh agama islam, yang baik kita syukur dan yang musibah kita bersabar kerana kesabaran memberi pahala kepada kita disisi Allah S.W.T," ujarnya lagi.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang membantu dari sebelum bencana sehingga pasca bencana banjir ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: