Wednesday, 19 December 2018

Pengurusan Pusat Pemindahan Banjir Terengganu Memuaskan

SHARE
Yahaya dan isteri melihat kemudahan yang disediakan di pusat pemindahan SK Rusila.
MARANG, 19 Disember - Pengurusan mangsa bencana di Pusat Pemindahan Banjir yang dibuka setakat ini tersusun dan sistematik.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali berkata, keadaan pusat-pusat pemindahan yang dibuka di daerah Marang amat memuaskan.

“Lawatan ke pusat-pusat ini hari ini memperlihatkan suasana yang kondusif. Terima kasih atas kerjasama semua agensi iaitu Pejabat Daerah Marang, Majlis Daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah amat membantu di samping  tenaga Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Yahaya turut mencuba terapi permainan yang disediakan JKM.
“Kerjasama ini berjaya memberikan kemudahan kepada mangsa banjir serta mewujudkan suasana kondusif dalam menghadapi saat getir ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila semalam.

Beliau yang ditemani isteri, Zarani Othman yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu dan kakitangan Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang berharap mangsa banjir dapat mengikuti arahan pihak berkuasa dari masa ke masa dan tidak tergesa-gesa untuk pulang ke rumah.

“Walaupun keadaan di sini serba kekurangan, diharap mangsa dapat menyesuaikan diri dan  menjaga kebersihan kawasan penempatan.

“Ini bukan sahaja pemindahan fizikal tetapi juga mental. Maka, pemakanan mesti dijaga dan kebersihan diselenggara supaya tidak menimbulkan masalah berkaitan penyakit,” katanya.

Dalam pada itu, Kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Marang, Fazilah Ghani memaklumkan pihak JKM mengadakan terapi mewarna, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan permainan untuk kanak-kanak di pusat pemindahan.

“Terapi sebegini bertujuan mewujudkan suasana ceria dan menenangkan jiwa mereka. Adakala, terapi ini juga disertai ibu bapa yang turut membantu mengawal keadaan supaya kondusif dan selesa,” katanya.

Setakat semalam difahamkan ada 553 mangsa banjir yang mewakili 142 keluarga di empat pusat pemindahan daerah Marang iaitu SK Rusila, SK Marang, SK Pasir Puteh dan SK Bukit Gasing. Seramai 152 mangsa banjir terdiri daripada enam kampung ditempatkan di SK Rusila yang mula dibuka petang kelmarin. Bagaimanapun keadaan di Marang bertambah baik hari ini apabila hanya satu pusat pemindahan masih dibuka di SK Pasir Puteh melibatkan 35 mangsa daripada 12 keluarga.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: