Thursday, 20 December 2018

Pengisian Rohani Indikator Kecemerlangan Pelajar

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 19 Disember - Pengisian rohani serta menitikberatkan didikan agama dalam setiap program antara indikator yang mampu menghasilkan kecemerlangan dalam akademik.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setiap kejayaan seorang pelajar bukan setakat diukur dengan kecemerlangan dalam bidang akademik semata-mata.

"Kecemerlangan di akhirat adalah paling utama. Apabila pelajar sedar tentang Islam, maka akan semangat untuk cemerlang. Kerana agama amat mementingkan pendidikan kerana itu umat terdahulu telah merintis kecemerlangan dan menjadi umat yang hebat serta perlu dicontohi.

"Jadi anak-anak yang masih muda ini perlu diterapkan dengan pembentukan jiwa berasaskan elemen Islam, agar mereka yang merupakan peneraju kepimpinan di masa akan datang, mencukupkan syarat bagi memastikan Malaysia terus kekal terpelihara sebagai negara Islam, yang benar-benar syumul, dan disuluhi cahaya Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika hadir di program kem motivasi untuk pelajar berumur 10 hingga 15 tahun anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung gabungan bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Bukit Besi, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang merasmikan penutup program berkenaan.

Program selama dua hari bermula 15 Disember memerlukan peserta bermalam di masjid itu.


Menurutnya, pihaknya yakin silibus yang disusun merangkumi isu semasa dari pandangan pihak berkuasa seperti polis, berkaitan pelajar sekolah masa kini dapat membantu ke arah kecemerlangan pelajar.

"Dunia pada masa kini memang penuh cabaran apabila seawal usia mereka telah didedahkan dengan pelbagai gejala disebabkan perasaan ingin mencuba kerana itu suntikan dan kesedaran terhadap agama perlu menjadi fokus utama.

"Semua pihak harus berperanan dalam berusaha menjadikan Islam sebagai teras kepada kehidupan. Apabila cemerlang agama, maka cemerlanglah segalanya," ujarnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: