Sunday, 23 December 2018

Pendidikan Tetap Jadi Keutamaan Terengganu

SHARE
Pendidikan keutamaan Terengganu dalam setiap kepimpinan.
MARANG, 23 Disember - Kerajaan Negeri Terengganu memastikan bidang pendidikan terus diberi keutamaan sebagaimana pimpinan terdahulu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali berkata, walaupun kerajaan negeri  berubah, tetapi bidang pendidikan tetap diambil kira dan diberi keutamaan.

"Kerajaan negeri ditadbir oleh Menteri Besar dari kalangan ahli akademik yang berasal dari bidang pendidikan dan memahami keperluan bidang ini.

"Maka, polisi-polisi baik yang dilaksanakan kerajaan terdahulu akan diteruskan," katanya ketika merasmikan Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar Penilaian Prestasi Sekolah Rendah (PPSR) 2018 di Sekolah Menengah Agama Marang hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar cemerlang yang menerima anugerah tersebut.
Yahaya mahu pelajar cemerlang dalam pelbagai kebolehan.
"Tahniah kepada yang berjaya hari ini. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat daripada pelbagai pihak iaitu pelajar, ibu bapa, guru-guru, dan pihak bahagian pendidikan yang telah banyak berusaha.

"Kepada pelajar yang tidak mendapat anugerah kali ini, jangan putus asa kerana banyak lagi peluang dan ruang untuk melakukan yang lebih baik.

"Kejayaan perlu dilipatgandakan kerana ini hanyalah permulaan.

"Kita mahu bina bukan semata-mata pencapaian daripada segi peperiksaan, tetapi kombinasi dalam pelbagai kebolehan.

"Ia sangat penting, supaya tidak dilihat pencapaian itu sekadar peperiksaan.

"Apa yang kita harap, anak-anak kita mesti menjadikan pencapaian ini sebagai satu permulaan kejayaan mereka di peringkat lebih tinggi.

"Kita nak pelajar kita terus berkembang dari segi intelektual dan paling asas, pencapaian sahsiah mereka.

"Kerana akhirnya mereka akan menjadi manusia yang terbaik dan menjalankan perintah Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi," katanya.

Seramai 69 pelajar daripada 26 buah sekolah di parlimen Marang menerima insentif sumbangan Yayasan Terengganu (YT) dalam majlis anjuran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) itu.

Setiap daripada mereka menerima hadiah wang tunai RM300.

Sebanyak RM20,700  diperuntukkan untuk parlimen itu daripada jumlah keseluruhan RM167,500 bagi 558 pelajar cemerlang di seluruh negeri.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Pengarah YT, Dr. Hashim Azmi Che Noh, Pegawai Pendidikan Daerah, Adnan Salleh@Abd Ghani.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: