Monday, 24 December 2018

Pelaksanaan 22 Inovasi Dipantau Kerajaan Negeri

SHARE
Dato' Haji A Rahman (empat dari kiri)  menyampaikan hadiah khas SUK  kepada pasukan  yang menang pertandingan.
KUALA TERENGGANU, 24 Disember - "Kerajaan Terengganu akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan 22 inovasi yang dicipta oleh 21 jabatan tahun ini," kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji A Rahman Yahya.

"Saya akan pastikan jawatankuasa ini akan berfungsi dan memastikan semua inovasi yang telah dibuat dilaksanakan di negeri Terengganu.

"Hari ini sebanyak 22 inovasi dapat dicipta dan akan dilaksanakan di seluruh negeri Terengganu, bukan di jabatan berkenaan sahaja," katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan '1 Inovasi, 1 Jabatan, 1 Tahun' Peringkat Negeri Terengganu Bagi Tahun 2018 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Antara wakil pasukan menerima hadiah inovasi dari Dato' A Rahman (tengah).
Turut hadir, Pengarah Tanah dan Galian negeri, Haji Zainal Abidin Hussin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Haji Rosman Roslan, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Haji Marzuki Endut dan Ketua Panel Hakim Pertandingan dari Bahagian Pembangunan Organisasi dan Inovasi, Wan Saifullizam Wan Jusoh.

Menurut Dato' Haji A Rahman, pertandingan '1 inovasi, 1 jabatan, 1 tahun' yang julung-julung kali diadakan, diharapkan dapat mewujudkan budaya kerja baharu di kalangan kakitangan kerajaan supaya melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan efisyen di masa akan datang.

"Dengan cara demikian, kaedah penyampaian kerajaan kepada rakyat akan lebih berkesan dan akan meningkatkan lagi kepuasan pelanggan (rakyat) kepada kerajaan negeri," jelasnya.

Tujuan pertandingan katanya, bukan semata-mata untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang menang tetapi ia adalah inisiatif untuk meningkatkan lagi inovatif di kalangan kakitangan kerajaan serta semangat kerjasama di kalangan mereka.

Ini kerana kerajaan tidak mampu melaksanakan sesuatu program inovasi tanpa ada kerjasama atau 'team work' di kalangan mereka.

"Hari ini kerajaan dapati daripada 148 jabatan, 21 jabatan yang masuk bertanding berbanding tahun lepas, hanya tiga peratus sahaja jabatan yang masuk.

"Tahun ini telah meningkat kepada 14 peratus dan saya mengharapkan pada tahun depan, akan berlaku peningkatan 100 peratus kepada jabatan yang masuk dalam pertandingan ini yang akan diadakan setiap tahun," ujarnya.

Tahun depan beliau mahu melihat dalam sasaran kerja tahunan setiap ketua jabatan mesti ada satu inovasi yang akan diwujudkan.

Katanya, tidak ada lagi pengecualian dalam hal ini dan diharap semua jabatan menyertai pertandingan tersebut.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: