Wednesday, 12 December 2018

Nuridah Angkat Sumpah Sebagai Ahli Dewan Negara - MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang secara rasminya menjadi Ahli Dewan Negara kelmarin.

"Tahniah YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang secara rasminya menjadi Ahli Dewan Negara semalam. Beliau merupakan calon wanita yang dipilih untuk mewakili Terengganu di Dewan Negara.

"Pelantikan ini bakal mengukuhkan lagi suara wanita dalam Terengganu khususnya dan negara amnya," katanya.

Samsuri berkata demikian dalam status yang dimuat naik di Facebook rasminya semalam, mengulas tentang upacara angkat sumpah Ahli Dewan Negara baharu yang berlangsung kelmarin.


Nuridah telah mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran di Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun. Hadir sama menyaksikan upacara tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor.


Pada 29 November lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu telah meluluskan pemilihan beliau sebagai calon wanita untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara menerusi undian sebulat suara sebagai Senator selama tiga tahun.

Beliau menggantikan Engku Naemah Engku Taib yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negara pada 5 November lalu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: