Monday, 10 December 2018

Nasib 'Mek La' Akan Terbela

SHARE


Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 10 Disember - Isu wanita kurang siuman yang dikenali sebagai 'Mek La' di kalangan penduduk Kampung Jalan Lembah yang dikatakan tidak mendapat perhatian sewajarnya menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Sura, Haji Wan Hapandi Wan Nik.

Wan Hapandi yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun berkata, masalah itu sudah berbangkit sejak sekian lama dan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terbela pihaknya sudah memanjangkan kes itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Apa yang lebih menyedihkan perempuan itu dipercayai telah dianiayai dan ditiduri oleh seseorang yang mengambil kesempatan terhadap kekurangan dirinya.

"Jadi kita telah mengambil tindakan untuk mencegah perkara yang tidak baik ini dari berlarutan,"katanya kepada pemberita di terakhir pembahagian dana bantuan persekolahan di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun (MPD), di sini, semalam.

Wan Hapandi turut memberitahu hasil mesyuarat dengan pihak JKM, mereka juga bersetuju untuk menghantar mangsa ke pusat pemulihan di Mersing, Johor.

Bagaimanapun, menurut beliau, penghantaran mangsa ke pusat itu  hanya akan dibuat segera apabila terdapat kekosongan.

"InsyaAllah bila mana (ada) kekosongan di pusat itu akan dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat," ulasnya.

Beliau juga mengharapkan masyarakat turut memahami situasi sebenar dan bekerjasama membantu meringankan bebanan mangsa.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang mengadu dan mengambil berat akan permasalahan ini," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: