Sunday, 30 December 2018

MPKK-JKKR Berpadu Murnikan Tanah Rancangan Felda

SHARE
Ngah Zakaria.
KUALA TERENGGANU 30 Disember - Berbeza fahaman dan cara pentadbiran tidak menghalang Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR) Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu bekerjasama untuk memurnikan Tanah Rancangan Felda di kawasan mereka.

Pengerusi MPKK Felda Jerangau Barat, Ngah Zakaria, 56, berkata, dalam tanah rancangan, JKKR merupakan majlis yang ditubuhkan oleh Felda yang memainkan peranan membantu pengurusan pihak mereka dalam melaksanakan aktiviti dan perancangan.

"Dengan keputusan meletakkan seorang MPKK dalam JKKR, saya menyambut baik keputusan yang dirasakan cukup terbaik bagi semua pihak.

"Sebagai mewakili MPKK yang diberi kepercayaan untuk duduk bersama dalam JKKR, kami akan merancang beberapa program kemasyarakatan menggunakan peruntukan yang diperolehi sama ada dari Kerajaan Persekutuan, negeri atau Felda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas Taklimat JKKR MPKK Kawasan Felda di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim.

Katanya lagi, MPKK dan JKKR akan bekerjasama dalam banyak perkara termasuk bantuan bencana kepada pihak yang memerlukan.

"Dari segi pembangunan masyarakat, MPKK dan JKKR dalam perancangan untuk melaksanakan program gotong-royong, keagamaan, ekonomi (kebun sawit) termasuk ternakan lembu dan kambing.

"Kami akan buat yang terbaik sebagai membalas kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan pihak pengurusan tertinggi Felda. Syukur setakat ini, kami tidak ada masalah dalam hubungan," kata Ngah.

Nazara Muda
Sementara itu, bagi Pegawai Penyelidik Tanah Persekutuan, Pejabat Menteri Besar, Nazara Muda, beliau mula memikirkan untuk memurnikan MPKK dan JKKR yang bergerak secara berasingan  sebagai satu kaedah menyelaras peruntukan yang diperolehi untuk warga Felda.

“Jika bergerak berasingan, ada kesannya sebab kita maklum JKKR diiktiraf oleh Felda. MPKK dibawah Kerajaan Persekutuan dan negeri manakala JKKR kebanyakan lantikan kerajaan terdahulu yang membentuk tiga cabang jika tidak bertindak dari awal.

“Jadi  perbincangan diadakan bersama pihak pengurusan Felda dengan mencadangkan JKKR melantik seorang daripada MPKK untuk duduk dalam jawatankuasanya supaya dapat melakukan penyelarasan bagaimana menyalurkan peruntukan yang diperolehi  dari Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan termasuk dari Felda itu sendiri supaya tidak berlaku keciciran atau pertindihan.

Tambahnya, makluman boleh dibuat di dalam mesyuarat tentang peruntukan atau maklumat asas dan ia lebih mudah  sebab ada wakil dari persekutuan, negeri dan wakil Felda. Dalam erti kata lain memurnikan tanah rancangan dengan lebih lancar,” ujarnya
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: