Thursday, 6 December 2018

Lembah Silika : Terengganu Dan Petronas Jalin Kerjasama Strategik

SHARE
Dr Ahmad Samsuri (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Terengganu Inc dengan PETRONAS di Kuala Lumpur hari ini .

KUALA LUMPUR, 6 Disember - Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) menjalin kerjasama strategik dengan PETRONAS untuk melaksanakan kajian pembangunan pembekalan tenaga dan infrastruktur berkaitan tenaga ke Lembah Silika Terengganu.

Projek pembangunan lembah silika itu adalah yang pertama di dunia berasaskan Taman Eko-Perindustrian di Jambu Bongkok, Marang.

Ia membabitkan pembangunan bersepadu dua fasa seluas 4,000 hektar yang akan merangsang perindustrian limpahan dan pelbagai ekonomi di Pantai Timur Semenanjung.


Dr Ahmad Samsuri Mokhtar .
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pembangunan infrastruktur berkaitan gas itu membabitkan dua fasa termasuk fasa pertama di kawasan pelabur induk yang merangkumi 470 hektar.

Manakala pembangunan fasa kedua pula membabitkan kawasan seluas 3,520 hektar.

"Anggaran nilai pelaburan bagi projek ini berjumlah RM13 bilion menerusi pelaburan domestik dan luar negara dan dijangka menyediakan 7,200 peluang pekerjaan baharu," katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Terengganu Inc dan PETRONAS di sini, hari ini.

Turut hadir,  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu , Haji Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri , Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri,  Dato' A Rahman Yahya, Beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).


MoU antara Terengganu Inc dan PETRONAS dimetrai disaksikan oleh Menteri Besar (tengah).
Dr Ahmad Samsuri seterusnya berkata, Terengganu Inc dan PETRONAS akan melaksanakan kajian dan penilaian teknikal dan komersial bagi pembangunan gas asli, penjanaan tenaga, pembekalan gas perindustrian dan lain-lain yang membabitkan pembekalan gas bagi pembangunan di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, ia adalah kerjasama pertama kali PETRONAS dan Terengganu Inc.

"Saya berharap melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak komited untuk terus memacu pembangunan Negeri Terengganu bagi membangunkan lembah silika selain industri minyak dan gas pada masa akan datang," jelas beliau. 

Projek ini juga katanya, berada dilokasi paling strategik di lingkungan projek pembangunan Koridor ECER yang juga berhadapan dengan laut China Selatan," jelasnya. 

Sementara itu,  projek sedemikian dilaksana di Kampung Bari Setiu, dengan anggaran deposit silika sebanyak 180 juta tan metrik,  di samping beberapa tempat lain termasuk Rantau Abang,  Jambu Bongkok,  Kampung Telaga Papan,  Tembila, Besut dan Kampung Beris Meraga,  Kemaman. 

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: