Tuesday, 18 December 2018

MB Terengganu Ucap Takziah Pemergian Adib

SHARE
Naraza Muda (kanan) mewakili Dr Samsuri bertemu abang arwah Adib, Muhamad Asraf Kassim untuk menyampaikan sumbangan.
KUALA LUMPUR, 18 Disember - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang dilaporkan meninggal dunia malam tadi.

Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda berkata, pihaknya mewakili Ahmad Samsuri bagi mengunjungi jenazah Allahyarham di samping menyampaikan sumbangan wang tunai kepada ahli keluarga Muhammad Adib.

"Saya diarahkan untuk datang bagi menyampaikan ucapan takziah dan menyerahkan sumbangan kepada waris ahli keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

"Pejabat Menteri Besar Terengganu dan seluruh rakyat negeri ini bersimpati dengan kejadian menimpa Allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang beriman," katanya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malam tadi selepas 20 hari bertarung nyawa akibat dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini.

Dalam pada itu, Naraza berkata, Ahmad Samsuri tidak dapat hadir sendiri bagi menziarahi keluarga Muhammad Adib berikutan perlu memberi tumpuan kepada mangsa-mangsa banjir di Terengganu.

"Kita akan uruskan (pertemuan dengan keluarga waris) kerana beliau kini sibuk menziarahi mangsa-mangsa banjir.

"Dan kita doakan semoga proses pengurusan jenazah dipermudahkan," katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: