Thursday, 20 December 2018

Maidam Yakin Kutip Zakat RM140 juta

SHARE

KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Negeri Terengganu berjaya meningkatkan kutipan zakat yang dipungut melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) pada 2018 serta yakin akan dapat mencapai sasaran sebanyak RM140 juta.

Yang Dipertua Maidam, Dato' Haji Osman Muda berkata, sehingga kini pungutan zakat yang terkumpul adalah sebanyak RM137 juta.

"Pada tahun ini, pungutan zakat di negeri Terengganu adalah sebanyak RM137 juta sehingga kelmarin (18 Disember). Target kita berjumlah RM140 juta sehingga penghujung tahun ini. Kita ada kurang lebih 2 minggu lagi. Insya-Allah kita yakin sasaran dapat dicapai sebab akhir tahun memang ramai nak keluarkan zakat," ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembahagian Pakaian Sekolah Kepada Penghuni Asrama Darul Akhyar Bagi Sesi Persekolahan Tahun 2019 anjuran Maidam di Dewan Kenanga, Club House, Terengganu Equestrian Resort (TER), Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai hari ini.

Osman berkata, sasaran pada tahun ini meningkat berbanding jumlah yang telah dikumpulkan pada tahun lalu, sebanyak RM133 juta.

Oleh itu menurutnya, agihan asnaf yang paling tinggi adalah kepada bidang pendidikan selain untuk orang fakir dan miskin.

"Agihan macam saya kata tadi yang paling tinggi sekarang ini (asnaf) pendidikan dan satu lagi asnaf untuk orang miskin dan miskin tegar. Pendidikan kita target tahun ini RM49 juta, tahun depan 2019 lebih kurang RM50 juta untuk pendidikan sahaja," jelasnya.


Selain itu kata beliau, sebanyak RM60 juta daripada wang zakat tersebut telah dimanfaatkan untuk membantu golongan miskin dan tidak berkemampuan. Bahkan kata beliau, sebenarnya agihan yang dilaksanakan pada musim ini melebihi daripada jumlah yang dikutip.

"Asnaf lain kalau yang paling tinggi kemiskinan sekarang ini lebih kurang RM60 juta," katanya.

Kata beliau, program yang diadakan pada hari ini adalah sumbangan daripada  pelaburan hartanah Berhad (PHB) dan SOGO.

Tambahnya, kedua-dua badan korporat tersebut menaja dan menyumbangkan sebanyak dua pasang pakaian dan sepasang kasut sekolah kepada 105 anak-anak yatim dari pelajar Asrama Darul AKhyar Batu Rakit.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: