Thursday, 27 December 2018

Mahu Anak Cemerlang Ilmu Agama, Faktor Ibu Bapa Pilih SRIDI

SHARE
Pendaftaran murid tahun satu di SRIDI, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Rata-rata ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama menyatakan keinginan untuk mendapatkan penekanan sukatan pelajaran berkaitan keagamaan kepada anak-anak. Ianya menjadi aspek utama yang membuatkan mereka memilih sekolah agama berbanding sekolah harian biasa.

Tinjauan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ke salah sebuah  Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) hari ini mendapati kebanyakan ibu bapa merasakan pilihan itu adalah yang terbaik malah pada pendapat mereka ia berbaloi dengan apa yang diperoleh oleh anak-anak mereka baik dari segi akademik dan sahsiah.

Di samping itu, ibu bapa juga melihat kurikulum dan sukatan akademik sekolah agama setara dengan sukatan sekolah kebangsaan atau sekolah harian biasa.

Nor Saidatul.
Bagi Nor Saidatul Afzan, 29,  kemahuan untuk memberikan pendidikan agama dari awal kepada anak-anak menjadi faktor dia memilih menghantar anak sulungnya, Ahmad Amiril Syaqirin Ahmad Azlan  ke sekolah agama.

“Selain itu, saya lihat kurikulum dan sukatan pelajaran untuk akademik juga tidak dilupakan di sekolah agama, malah pada pandangan saya masih setara dengan sekolah harian biasa.

“Kredit perlu diberikan kepada pihak sekolah agama di bawah seliaan jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kerana  menambahbaik sukatan pembelajaran manakala dari aspek kos yuran persekolahan, memang agak murah berbanding sekolah harian biasa, dan bagi saya masih berbaloi ,” katanya.

Nor Saidatul berkata demikian kepada wartawan UPDI ketika ditemui selepas pendaftaran kemasukan murid tahun satu dan dua di Sekolah Rendah Agama Yayasan Islam Terengganu (SRAYIT), Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Seramai 40 murid yang berjaya melepasi ujian kemasukan telah mendaftar tahun satu  bersama-sama ibu bapa termasuk 15 murid tahun dua SRAYIT di Losong yang telah pun beroperasi sebelum ini, cuma sekolah itu  diuruskan kerajaan negeri sebagai usaha menjadikan enam SRIDI di Terengganu.

Aida Tengah
Sementara itu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Pengurusan Akademik Peperiksaan dan Penilaian JHEAT, To’ Puan Aida Tengah berkata, sekolah ini akan beroperasi pada jam 8 pagi hingga 4 petang dan ibu bapa hanya perlu membayar yuran pendaftaran sahaja.

“Yuran yang dikenakan cukup murah iaitu serendah RM140 setahun kepada pelajar sepanjang tahun persekolahan dan ia sangat istimewa bagi anak Terengganu.

“Kita dapat permintaan tinggi daripada ibu bapa untuk anak-anak mereka. Bagaimanapun, kita akan mengadakan temuduga kerana tempat yang terhad bagi memberi keadilan kepada semua.

“SRIDI akan mengguna pakai silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditambah dengan kurikulum negeri yang berasaskan pengajaran agama dan al-Quran dalam bahasa Arab,” katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: