KUALA LUMPUR, 2 Disember - Tampil dengan pelbagai keunikan dan aktiviti menarik antara faktor kemenangan tempat kedua terbaik yang dicapai Terengganu pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Pavilion Terengganu yang
diperbuat daripada kayu cengal menyajikan lebih 12 aktiviti sepanjang pameran
yang berlangsung selama 12 hari, bermula 22 November dan berakhir hari ini.
Antaranya pengunjung dapat melihat secara dekat penyu albino, demontrasi membuat nasi dagang, keropok lekor dan pelbagai makanan tradisional Terengganu, selain pertunjukan mencanting batik dan sutera.
Hadiah kemenangan diterima oleh Timbalan Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri,YB Hilmi
Harun pada majlis penutupan MAHA 2018 pagi tadi.
Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr.
Azman Ibrahim berkata, kemenangan itu menjadi pendorong kepada Kerajaan
Terengganu yang dibantu 33 jabatan di bawah portfolionya untuk mencuba yang terbaik pada MAHA akan
datang.
“Tidak mustahil
dengan kerjasama, idea, sokongan dan semangat kerja berpasukan Terengganu mampu mengulangi kejuaraan seperti
yang pernah diraih pada 2014 dan tempat kedua pada 2016,” katanya.
Terengganu merekodkan
lebih 35,000 pengunjung dengan catatan jualan kira-kira RM140,000 sepanjang pameran
berlangsung.
Menteri Besar, Dr
Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri Tuan Faizah Abd Rahman serta beberapa ahli
rombongan sempat mengunjungi Pavilion
Terengganu pada 30 November lalu.
0 komen: