Wednesday, 19 December 2018

Kerajaan Negeri Siasat Dakwaan Pegawai Menyeleweng

SHARE
Dr Ahmad Samsuri (kanan) ketika menjawab soalan pemberita berkait dakwaan kononnya pegawai anak syarikat kerajaan Terengganu menyeleweng.
KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Kerajaan negeri sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kononnya beberapa orang pegawai di pejabat  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat kerajaan negeri terbabit dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, siasatan dalaman mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dibuat bagi mengenalpasti sama ada penyelewengan itu benar-benar berlaku atau tidak dan kerajaan tidak teragak-agak membawa kes dakwaan itu ke pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya jika dakwaan itu ada unsur-unsur melanggar mana-mana akta atau undang-undang negara.

"Buat masa ini tidak ada sebarang tindakan yang luar biasa dilakukan kerajaan, hanya mengikut SOP dan hanya siasatan dalaman sahaja dibuat, belum melibatkan mana-mana pihak berkuasa sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya ketika disoal pemberita selepas selesai Majlis Repsol Media Night 2018 di Hotel Permai di sini semalam.

Katanya buat masa ini siasatan dijalankan oleh satu jawatankuasa dalaman syarikat terbabit.

Baru-baru ini tular di media sosial dakwaan kononnya pejabat CEO terbabit dirantai kerana berlaku pertembungan kepimpinan dalaman syarikat berkenaan.

Menjelaskan lebih lanjut berhubung dengan perkara tersebut, Dr Ahmad Samsuri berkata , beliau tidak pasti insiden itu secara fizikalnya tetapi ianya adalah prosedur biasa untuk menghalang individu-individu tertentu supaya tidak berada di premis berkenaan sewaktu siasatan dijalankan.

"Jadi bagaimana SOP yang diambil sama ada kunci, merantai pintu pejabat atau sebagainya itu adalah satu kaedah sahaja tetapi yang pentingnya ialah prosedur itu perlu dijalankan bagi menghalang mereka yang terbabit memasuki premis berkenaan," jelasnya.

Menjawab satu soalan berkaitan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kerajaan tidak menetapkan waktu atau tempoh tertentu untuk menyelesaikan siasatan berkenaan kerana jika tindakan tersebut dibuat secara tergesa-gesa, kerajaan bimbang tidak berlaku adil kepada mana-mana pihak terlibat.

Menurut beliau, siasatan itu dilaksanakan dengan teliti bukan bertujuan untuk memburu dan mengenakan tindakan sewenang-wenangnya kepada mana-mana individu.

"Siatan itu dijalankan dengan kadar yang segera mungkin supaya segala urusan dan perjalanan syarikat tidak terjejas," ujarnya.

Katanya, kerajaan tidak akan mendedahkan nama atau identiti mereka terbabit kerana ia masih lagi dalam siasatan.

"Kerajaan mahu berlaku adil kepada pihak yang dinamakan (didakwa) itu supaya kerajaan tidak membuat hukuman melalui media lebih awal, biarlah pihak luar membuat serkap jarang, itu adalah hak mereka (jika tidak bercanggah dengan undang-undang).

"Mereka yang membuat serkap jarang itu perlu hormat (supaya tidak membuat tuduhan melulu kepada mereka yang terbabit)," ujarnya lagi.

Buat sementara waktu, katanya, operasi syarikat tersebut akan diuruskan secara bersama oleh wakil lembaga pengarah syarikat berkenaan yang dilantik bersama dengan pengurusan yang sedia ada dan tidak terbabit dalam siasatan itu.

"Jadi akan ada pemangku kumpulan CEO yang bertanggungjawab," jelasnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: