Sunday, 16 December 2018

Kerajaan Peringat Orang Ramai Jangan Tinggal Solat Fardu

SHARE

Ustaz Satiful Bahri (tengah) ketika menyertai Himpunan Bantah ICERD di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Orang ramai diperingatkan supaya menunaikan solat jumaat dan solat fardhu kerana mereka yang tidak berbuat demikian masing-maisng boleh didenda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan hingga tiga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, menurut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 Bahagian III - Seksyen 18 menyatakan bahawa mana-mana orang, yang mukallaf, yang tidak menunaikan sembahyang fardhu tanpa keuzuran syarie adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau di penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara Seksyen 16 enakmen yang sama menyatakan mana-mana orang lelaki, yang mukallaf, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam mukim masjidnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atau tanpa sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Ketika dihubungi beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, kerajaan negeri mahu memastikan rakyat negeri Terengganu bebas dari kesalahan jenayah tersebut kerana kesalahan tidak solat jumaat dan fardhu adalah satu kesalahan dosa besar.

Menurut beliau rakyat beragama Islam di negeri ini wajib menjaga hubungan mereka dengan Allah melalui solat fardhu kerana ia amat penting bagi melahirkan masyarakat madani berteraskan hubungan mereka dengan pencipta manusia itu sendiri (Allah SWT).

"Kita mahu menjadikan negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera, bererti hubungan dengan Allah melalui solat tidak boleh sekali-kali diabaikan kerana ia adalah kunci segala keberkatan hidup umat Islam.

"Pengabaian tanggungjawab itu merupakan satu kesalahan besar dan dengan tujuan itulah kerajaan menguatkuasakan enakmen berkenaan," tegas beliau.

Sementara solat jumaat, satu manifestasi himpunan perpaduan umat Islam secara mingguan di masjid agar arahan, peringatan dan maklumat penting mengenai hal ehwal Islam dan umatnya dapat disampaikan kepada mereka.

"Mereka perlu kepada kesatuan, kesedaran dan sensitif terhadap perkembangan terkini permasalahan Islam dan umatnya dalam dan luar negara.

"Justeru itu Allah SWT menjadikan hari Jumaat sebagai hari mereka berhimpun di masjid sekaligus menjelaskan bahawa mereka perlu ada hubungan dengan masjid sebagai lambang kesatuan dan syiar umat Islam," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika ditemui pemberita di Paya Bunga (PB) Square di sini kelmarin berkata, undang-undang yang telah diwartakan sentiasa dikuatkuasakan dan penguatkuasaan sedang berjalan.

Ustaz Mohd Nor (dua dari kanan) berbincang sesuatu dengan seorang pengusaha pawagam di PB Square semasa Kempen "Street Dakwah' di Kuala Terengganu kelmarin.

"Kita (kerajaan) serah kepada pihak penguatkuasa untuk melaksanakan undang-undang yang sudah sedia ada, jika ada tangkapan berlaku kita serah kepada pihak kehakiman menentukan keputusannya, kita tidak ganggu mereka.

 "Bahagian kuasa kerajaan ialah menentukan garis panduan, kerajaan buat pemantauan, bidang kuasa kerajaan ialah beri nasihat dan ingatan supaya jangan melakukan kesalahan ini.

Beliau yang juga ADUN Bukit Payung berkata, jika ada aduan boleh maklum kepada pihak penguatkuasa dan penguatkuasa menjalankan siasatan dan memantau mana-mana kawasan yang dianggap ada orang yang tidak menunaikan sembahyang jumaat.

"Tetapi tidak boleh tangkap terus, ada juga orang yang tidak sembahyang dia musafir, termasuk di kawasan-kawasan pelancongan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Zuhaiza Ismail berkata, seramai lapan lelaki Islam dicekup kerana didapati ponteng solat Jumaat sepanjang tempoh 2016 hingga November lalu.

Kesemua mereka ini didakwa di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Nik Zuhaiza berkata, penguatkuasaan itu juga adalah bagi meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kewajipan melaksanakan solat fardhu yang lain bermula dengan penekanan solat Jumaat secara berjemaah.

"Mungkin ada umat Islam yang seumur hidup tidak pernah solat. Menerusi penguatkuasaan ini secara tidak langsung akan membuatkan dia hadir ke masjid walaupun bukan secara sukarela dan siapa tahu hadirnya hidayah dan memberi kesedaran kepadanya," ujarnya.

Beliau berkata, kempen dan kesedaran perlu diteruskan dan diperkasa lagi supaya selari dengan tindakan undang-undang yang diambil.

"Di bahagian penguatkuasaan, kami akan pastikan kempen kesedaran kepada umat Islam selari dengan penguatkuasaan yang diambil," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: