Thursday, 13 December 2018

Kerajaan Komited Pastikan Rakyat Miliki Rumah Kediaman

SHARE

Oleh: Safwan Syakir

KEMAMAN, 13 Disember 2018 – Kerajaan negeri komited memastikan seluruh rakyat di negeri ini mempunyai kediaman sendiri menjelang tahun 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, sebanyak 20,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibina dalam tempoh empat tahun secara berperingkat.

“Antara syarat yang layak untuk memohon RMM di Terengganu ialah pemohon yang belum mempunyai rumah kediaman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pengundian Lot, Tandatangan Perjanjian dan Penyerahan Kunci RMM di Dewan Orang Ramai, Kampung Bukit Kukuran, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, IR Saiful Azmi Suhaili, Pengurus Perumahan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Norhaslinda Deraman dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun.

Menurut beliau, seramai 14 pemohon layak menerima kunci RMM daripad  26,040 orang yang memohon bagi daerah itu.

Dr Alias berkata, kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM 52,000 bagi menampung kos sebenar RMM bernilai RM 120,000 selain diberi potongan lima peratus untuk bayaran deposit rumah tersebut.

Disamping itu, kerajaan juga sedang merancang menyediakan tabung perumahan bagi memberi kemudahan kepada pemohon yang ditolak pinjaman daripada pihak Bank.

“Hargailah rezeki yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T dengan menjaga sebaik mungkin rumah yang diberi supaya anak-anak dapat hidup dan belajar dengan selesa serta kelak akan dapat mengubah masa depan keluarga,”ujarnya.

Katanya, pihak PMINT tidak teragak-agak untuk menarik balik kelayakan pemilik rumah yang didapati menyalahguna rumah tersebut termasuk membiarkan rumah tersebut tanpa penghuni dengan alasan tidak munasabah dan mengambil kesempatan memberi sewa rumah tersebut kepada orang luar.

Dalam pada itu katanya, rakyat negeri ini juga disaran bijak mengambil peluang tawaran-tawaran yang disediakan oleh pihak kerajaan seperti, air percuma 20 meter padu bagi yang layak, wad kelas tiga percuma di hospital kerajaan dan sebagainya.

“Malah, kerajaan juga menawarkan kad sejahtera berjumlah RM 500 kepada rakyat yang layak bagi memudahkan urusan mereka ke klinik swasta tanpa perlu bersesak ke klinik kerajaan yang kapasitinya terhad dan mendapat rawatan dengan cepat,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan juga akan berusaha untuk meningkatkan ekonomi negeri dengan membuka kilang-kilang baru seperti lembah silika yang boleh manfaatkan sekurang-kurangnya 7,000 peluang pekerjaan buat rakyat di negeri ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: