KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan Negeri sedang
menyediakan pelan gunatanah yang bersesuaian melalui Rancangan Tempatan Daerah
2018-2035 bagi menyokong rancangan PETRONAS untuk membangunkan pusat operasi
pantai timur syarikat minyak itu dengan wajah baharu.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri
menyelaras perancangan dengan PETRONAS dalam pembangunan Bandar Baharu Kertih dengan
menyediakan pelan gunatanah bersesuaian seperti perniagaan, industri, perumahan
dan kemudahan awam melalui rancangan tersebut.
"Di samping itu perancangan pembangunan kemudahan
infrastruktur juga diambil perhatian dalam menyokong cadangan pembangunan oleh
PETRONAS, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga
Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan sebagainya,"
jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat
Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul
Iman, di sini baru-baru ini.
ADUN itu dalam soalannya menyatakan bahawa pembangunan dan
menambahbaikan Bandar Baharu Kertih perlu dibuat sebagai katalis bagi merancakkan
lagi pembangunan dan pengembangan industri minyak dan gas di Terengganu.
Justeru beliau ingin tahu perancangan kerajaan dalam
menjadikan ia sebagai satu bandar satelit berasaskan minyak dan gas serta
biopolymer.
Katanya merujuk kepada pembentangan oleh pihak PETRONAS di
bawah anak syarikatnya KLCC Harta bahawa pusat operasi pantai timur PETRONAS
akan dibangunkan dengan wajah baharu termasuk mengambil kira unsur dan
keperluan teknologi hijau dalam pembangunannya.
Justeru sekali lagi beliau ingin tahu perancangan kerajaan
negeri untuk turut sama dalam membangunkan wajah baharu Bandar Baharu Kertih
itu.
0 komen: