Sunday, 16 December 2018

Kerajaan Bela Nasib Golongan B40

SHARE


Oleh : Safwan Syakir

KUALA NERUS,16 Disember 2018 - Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan golongan B40 yang merujuk kepada pendapatan isi keluarga di bawah 40 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, terdapat banyak keistimewaan yang bakal dinikmati oleh golongan ini.

"Antara yang telah kita laksanakan ialah membuka semula dan meluluskan permohonan khususnya lot-lot tapak rumah serta mengembalikan semula tanah yang dirampas pada tahun 2004.

"Proses tersebut sedang berjalan dan diharap pemohon bersabar menunggu giliran mereka,"katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Baucer Persekolahan kepada 150 Pelajar Miskin Dun Bukit Tunggal di Dewan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Tunggal, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Kebajikan dan Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Tunggal Wan Faudzi Wan Harun.


Mengulas lanjut berkenaan manifesto Pilihanraya yang lalu, Dr Alias berkata, kerajaan negeri akan berusaha menunaikan 12 perkara dalam tempoh dua tahun iaitu 2018 dan 2019.

“Selebihnya akan dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021. Kerajaan juga akan membina 5,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) pada tahun ini dan keseluruhan tidak kurang 20,000 unit dalam tempoh empat tahun.

“Projek RMM ini memakan masa selama setahun jika menggunakan teknologi IBS dan 18 hingga 24 bulan sekiranya menggunakan cara biasa.

"Target kita semua rakyat yang sudah berumahtangga dapat miliki rumah sendiri menjelang tahun 2030," ujarnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan akan melaksanakan wad kelas tiga percuma pada tahun hadapan untuk rakyat Terengganu yang dibiayai oleh kerajaan negeri sebanyak RM5 juta untuk membayar caj yang dikenakan oleh kementerian kesihatan.

"Kerajaan sedang mengenal pasti kira-kira 20,000 buah keluarga daripada golongan berpendapatan rendah yang bakal dapat manfaat menggunakan kad sejahtera.

"Kad ini bernilai RM500 dan rakyat boleh menggunakan kad ini di klinik swasta untuk mendapat rawatan yang cepat tanpa perlu dibayar,” ujarnya.

Selain itu katanya, antara tawaran buat anak anak muda puala kerajaan negeri memperuntukkan RM300 untuk memastikan golongan yang berumur 16 tahun keatas dapat memiliki lesen motosikal percuma.

"Saya menyeru kepada semua yang cukup umur nanti supaya tidak melepaskan peluang dengan tawaran ini agar anak-anak kita selamat menunggang motosikal tanpa insiden yang tidak diingini berlaku. Kaedah pendaftaran sedang dibincang dengan EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri,” ujarnya.

Antara janji kerajaan yang telah dilaksanakan juga katanya, termasuk karnival kahwin percuma yang di setiap DUN selain daripada tabung usahawan sebanyak RM 15 juta yang bakal dilaksanakan dan memberi manfaat kepada usahawan tempatan.

"Sektor awam agak terhad peluang pekerjaan yang disediakan. Oleh itu, saya menggesa agar rakyat melibatkan diri dalam perniagaan yang juga dianjurkan dalam agama Islam dan mewarisi Sunnah Nabi.

"Seterusnya, mengenai air percuma mestilah golongan yang berdaftar dengan e- kasih dan Majlis pengurusan Komuniti kampung (MPKK) mestilah memainkan peranan mereka dengan mengenalpasti golongan ini," tegasnya.

Di samping itu katanya, bermula tahun depan kerajaan akan menghapus cukai pintu rumah kediaman dengan kos ditanggung kerajaan sebanyak RM 14 juta setahun.

"Turut menggembirakan para ibu bapa di sektor awam ialah akan diwujudkan pusat penjagaan anak-anak yang berumur empat tahun ke bawah di setiap jabatan kerajaan. Hal ini secara tidak langsung ibu bapa dapat berjumpa anak anak mereka walau di pejabat," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM 5 juta setahun untuk memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang di negeri Terengganu yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Menurutnya lagi, kerajaan juga memberi bantuan kepada sekolah sekolah agama dan pondok bagi memperkasakan institusi tersebut yang mempunyai keistimewaan tersendiri serta telah banyak mencurah jasa mengajar agama kepada rakyat Terengganu.

“Kerajaan juga akan menambah cawangan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di setiap DUN seluruh negeri,” ujarnya.

Menyentuh mengenai peluang pekerjaan katanya, kerajaan akan membuka kilang silika seluas kira-kira 4,000 hektar di Jambu Bongkok dan bakal memberi 7,000 peluang pekerjaan disamping kerajaan juga akan mewujudkan Bandar Baru Lestari bermula tahun 2020.

“Semoga segala hasrat dan perancangan kerajaan berjalan dengan baik untuk memberi kebajikan kepada rakyat serta menjadikan negeri ini Maju Berkat dan Sejahtera,” ujarnya.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: