Sunday, 30 December 2018

Kemukakan Bukti Jika Agihan Wang Royalti Kepada Parti - MB Terengganu

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Haji Ahmad Nawawi Mohamad.
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta pihak berkaitan mengemukakan bukti jika benar wujudnya ketidakadilan dalam agihan wang royalti.

Katanya, jika benar berlaku sikap tidak telus dengan mengagihkan wang itu kepada parti dan bukannya kepada pentadbiran kerajaan, pihak terbabit diminta membawa bukti yang sahih.

"Kerajaan telus berkaitan perkara ini kerana setiap sen duit yang dikeluarkan akan diaudit bagi mengelak penyelewengan. Jadi jelas, perkara yang dituduh adalah tidak benar," katanya.


Pada sidang Dun ke-14 lalu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menerima bayaran royalti minyak dan gas sebanyak RM300 juta yang dibayar sebanyak dua kali iaitu pada Ogos dan awal Oktober lalu.

Katanya, kerajaan Terengganu berharap menerima baki bayaran wang royalti berjumlah antara RM400 juta hingga RM500 juta daripada Petronas sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pesaka Negeri Terengganu di Muzium Negeri Terengganu semalam.

Dalam tumpuan lain, Dr Ahmad Samsuri berkata, apa yang dikemukakan Pesaka Terengganu melalui kertas cadangan akan diteliti.


"Pihak Pesaka ada membuat permohonan berkaitan kewangan, pelaksanaan program, logistik dan semua ini akan dipertimbangkan.

"Apa yang penting, saya akan memanggil pentadbiran baru Pesaka Terengganu kerana mahu mendengar sendiri apa yang diperlukan,"  katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: