Saturday, 22 December 2018

Kem Anak Soleh Bakal Jadi Acara Tahunan

SHARE
Belajar solat merupakan antara pengisian dalam kem

Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU  22 Disember-Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Kampung Mengabang Tengah Masjid mengambil inisiatif untuk menjadikan program Kem Anak Soleh ini sebagai acara tahunan di dalam kalendar aktiviti.

Pengarah Program,Ustaz Harun Hitam berkata, program kem anak soleh ini untuk menarik minat pelajar-pelajar dan setakat ini sasaran penganjur telah tercapai.

“Kita sasarkan 100 peserta untuk kem dan syukur setakat ini kita telah mempunyai 95 orang peserta serta mencapai sasaran.

“Peserta terdiri daripada pelajar-pelajar yang berumur antara enam hingga 12 tahun merupakan penduduk setempat dan keputusan untuk jadikannya acara tahunan setelah berbincang dengan pengerusi MPKK.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) di program Kem Anak Soleh di Bangunan PASTI Al-Khauthar, Mengabang Tengah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MPKK Kampung Mengabang Tengah Masjid, Aziz Salleh dan seluruh ahli jawatankuasa program.


Tambah beliau,  penerimaan ibu bapa terhadap program amat membanggakan bagi mengisi masa lapang anak-anak yang dalam ‘mood’ cuti sekolah.

“Sambutan memang luar biasa yang diterima dan ibu bapa memang mencari peluang untuk menghantar anak-anak ke kem ini bagi mengisi masa lapang sepanjang cuti persekolahan ini.

“Saya rasa tahun depan mungkin kita kena buat lebih besar dan meriah, untuk itu kita akan bentangkan kertas kerja lebih awal bagi memastikan kem ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik,"ujarnya lagi.

Menurut Harun, matlamat program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar betapa pentingnya solat jemaah dan suasana berjemaah ketika menunaikan solat dalam kehidupan seharian.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: