Wednesday, 26 December 2018

Kem 3S Isi Masa Senggang Dengan Ilmu Bermanfaat

SHARE


Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 25 Disember - Kem Solat, Soleh, `Success' atau dikenali sebagai Kem 3S, di Bukit Payung, di sini, mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa untuk mengisi masa senggang musim cuti sekolah anak-anak dengan ilmu yang bermanfaat.

Program sehari itu mendapat sambutan luar biasa daripada ibu bapa apabila menerima 196 penyertaan melibatkan 103 perempuan dan 93 lelaki berusia 7 hingga 12 tahun.


Pengarah Program Kem 3S, Wan Muhamad Akid Wan Mohd Zulkifli berkata, program yang menerangkan lebih terperinci apa itu solat, praktikal wuduk, tayamum dan solat serta motivasi kejayaan melalui solat berjaya memberi pendedahan berguna kepada peserta kewajipan sebagai hamba Allah SWT seawal usia kanak-kanak.

 "Didikan agama di peringkat awal (kanak-kanak) penting untuk membendung anak-anak daripada terlibat dalam gejala yang tidak sihat. Kebanyakan jenayah remaja yang dapat dilihat pada hari ini berpunca kerana tidak mendapat didikan agama sejak kecil.

"Jika didikan semasa kecil sudah tidak betul. Maka, kita bakal akan menemui insan-insan yang tidak baik pada masa akan datang. Ingatlah pepatah ada mengatakan, `melentur buluh biarlah dari rebungnya'," katanya kepada media ketika ditemui dalam program di Masjid Gong Kubur, Paya Resak, Bukit Payung, semalam.


Majlis penutup program itu disempurnakan oleh Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mat Ghani Jusoh. Hadir sama, Penghulu Mukim Bukit Payong, Zafiri Ahmad Zaki.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: