Tuesday, 25 December 2018

Kelemahan Agihan Bantuan Diakui Dan Akan Ditambah Baik

SHARE

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 25 Disember - Agihan Bantuan Awal Persekolahan bagi sesi persekolahan 2019 akan ditambah baik pada masa hadapan mengambil kira sudut positif dan negatif yang timbul untuk manfaat semua rakyat di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, terdapat beberapa kekurangan dan kelemahan yang telah dikesan sepanjang tempoh pengagihan yang memerlukan penambahbaikan di masa hadapan.

"Kita akui bukan suatu tugas mudah untuk menyelesaikan dan memuaskan hati semua pihak dengan seramai 4,238 orang penerima di Jabi contohnya, tapi kita cuba lakukan yang terbaik dan mengambil iktibar dari kelemahan yang timbul.

"Petugas yang ada cuba menyantuni semua pihak dengan sebaiknya," tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau agihan Bantuan Awal Persekolahan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi di Dewan Sivik Jabi baru-baru ini (20 Disember).

Justeru, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, proses penukaran bagi saiz yang tidak mencukupi, pertukaran warna baju dan sebagainya akan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Mohon maaf kepada semua rakyat Jabi atas sebaran kekurangan dari pihak kami. Dengan penuh harapan kita dapat menyelesaikannya sebelum memulakan sesi persekolahan baru insya-Allah," katanya.

Menurutnya, kawalan keselamatan barangan dijalankan sepanjang siang dan malam sehinggakan ada petugas yang tertidur di atas timbunan kotak.

"Inilah tenaga penting dari Pusat Khidmat ADUN, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Unit Amal, Ameerah, Keselamatan dan Pemuda DUN Jabi yang bertungkus-lumus sejak seminggu lebih yang lalu bagi menjayakan program ini," ujarnya yang turut bergambar kenangan bersama para petugas.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: