Sunday, 16 December 2018

Kejohanan Bola Jaring Terap Patuh Syariah

SHARE



Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 16 Disember - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) menyambut baik keputusan kerajaan negeri supaya mengamalkan pemakaian sukan patuh syariah apabila menerapkan budaya itu dalam pertandingan sukan bola jaring yang dianjurkan, kelmarin.

Wakil Beliawanis i-MiTS DUN Rantau Abang, Husni Nabilah Dzulkefli berkata, peserta pertandingan menerima dan mematuhi syarat menutup aurat sebagai mengikut syariat sepanjang kejohanan itu.

"Sedangkan ada di antara mereka yang tidak memakai tudung atau pakai tudung tetapi berlengan pendek, tetapi untuk menyertai program sukan ini, mereka akur mengikut keputusan kerajaan demi menjaga kemuliaan agama Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas Pertandingan Bola Jaring DUN Rantau Abang anjuran i-MiTS DUN tersebut di Dewan Majlis Sukan Negeri, Kampung Paya, di sini, kelmarin.

Turut hadir, isteri ADUN Rantau Abang yang juga Ketua Muslimat PAS DUN Rantau Abang, Hajah Rugayah Mahmood.

Dalam pada itu, Husni berkata, pertandingan juga berlangsung dalam suasana sihat  dan  turut menjadi medan berdakwah.

"Jadi kita berdakwah secara tidak langsung, selain tempat yang tertutup dan tidak dibenarkan orang lelaki masuk," katanya.

Menurut beliau lagi, sambutan untuk menyertai pertandingan itu amat menggalakkan, bagaimanapun penganjur terpaksa mengehadkan penyertaan kepada enam kumpulan sahaja serta perlawanan secara 'round robin'.

"Satu 'team' lapan orang dan main selama tujuh minit, rehat seminit, pastu main tujuh minit lagi," jelasnya lagi.

Dalam pertandingan itu, kumpulan Dangsuria muncul johan dan membawa pulang sijil, medal, wang tunai serta hamper.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: