Thursday, 20 December 2018

Jelapang Padi Fasa 2 Tampung Kekurangan Bekalan

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan jelapang padi fasa kedua bagi menampung kekurangan bekalan makanan ruji tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas  Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pengeluaran padi dalam kawasan sedia ada hanya mampu memenuhi 53 peratus sahaja permintaan rakyat tempatan.

Katanya, keselamatan makanan (food security) adalah perkara paling penting bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan di negeri ini.

Ianya kerana, menurut beliau, dalam konteks Terengganu, bekalan beras untuk negeri ini mempunyai sekitar 12 ribu hektar kawasan padi.

“Lima ribu hektar berada di kawasan jelapang yang menjadi tumpuan pengeluaran padi beras negara dan lebih tujuh ribu hektar berada di luar jelapang yang  tidak  memiliki kelengkapan pengairan dan infrastruktur yang lengkap untuk penanaman dua kali setahun.

“Jadi, daripada 12 ribu hektar kawasan penanaman padi, kita cuma mampu membekalkan sekitar 53 peratus  keperluan bagi negeri Terengganu. Dengan makna, kita terpaksa beli beras daripada negeri lain, beras yang diimport daripada Thailand umpamanya,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian dalam temubual Pasca Bajet 2019 yang disiarkan secara langsung melalui ManisFm kelmarin.

Oleh itu, katanya, tujuh ribu hektar kawasan sawah padi  yang berada di luar jelapang akan dijadikan jelapang padi dengan cara memanfaatkan sistem pengairan dan empangan Paya Peda yang berada di Besut, Terengganu.

“Satu empangan yang disiapkan dengan kos lebih RM300 juta yang sehingga sekarang airnya belum digunakan untuk tujuan  pengairan . Maka air dari empangan Paya Peda inilah yang kita rancang untuk dialir dan disalurkan ke sekitar lima ribu hektar lagi kawasan padi.

“Ianya untuk kita jadikan 10 ribu hektar jelapang padi negeri Terengganu insya-Allah mampu untuk membekalkan sekitar lebih 80 peratus keperluan beras di negeri ini,” jelasnya. 

Dengan itu, kata beliau, negeri Terengganu akan mencapai kadar kecukupan sara diri (SSL) walaupun tidak mencapai 100 peratus.

Dr Azman menambah, terdapat 12 kawasan jelapang padi di seluruh negara yang menjadi tumpuan dan dibangunkan dengan segala infrastruktur  yang diperlukan oleh pihak kerajaan. 

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: