Thursday, 20 December 2018

Jangan Tunggu Suruh, Baru Buat

SHARE
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta kem.
Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU , 20 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mengingatkan anak-anak agar tidak bergantung kepada suruhan ibu bapa mereka untuk mendirikan solat.

"Selepas ini, jangan tunggu emak ayah suruh dulu baru buat. Adik-adik kena tanamkan sikap bahawa ini adalah perintah Allah SWT. Jangan tunggu disuruh," pesannya.

Katanya, solat merupakan perkara wajib dilaksanakan semua umat Islam sebagai hamba-Nya yang bersyukur dengan kurniaan nikmat dan rezeki yang melimpah.

"Antara tujuan program ini dijalankan adalah supaya kita lebih memahami ilmu solat dan berdisiplin melakukan ibadah solat. Ilmu ini perlu dipelajari dengan lebih terperinci dan mengikut kehendak syarak," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kem Solat Remaja 1.0 anjuran Pejabat Parlimen Kuala Terengganu di Masjid Kubang Ikan semalam.

Khalil yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan,Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri turut berpesan kepada peserta agar tidak meninggalkan solat dan menanamkan rasa khusyuk melakukan solat walau dalam apa jua keadaan.


Beliau turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada pengurusan masjid, ahli jawatankuasa program, penceramah, ibu bapa dan peserta-peserta yang menjayakan kem itu.

Seramai 107 peserta menyertai program tersebut. Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubang Ikan, Azmi Yusof dan Ahli Jawatakuasa Masjid Kubang Ikan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: