Monday, 31 December 2018

Jangan Rasa Malu Mohon Bantuan Kerajaan Negeri

SHARE

Oleh: Ahmad Fadhilah

KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Rakyat Terengganu yang berkelayakan perlu membuang perasaan malu bagi membuat permohonan bantuan kerajaan sehingga masalah mereka dapat diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, bagaimanapun mereka yang berkenaan perlu menepati syarat permohonan untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Katanya, pelbagai agensi kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan bantuan termasuk Tabung Darul Iman (TDI), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

Rakyat negeri Terengganu khusunya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat dinasihatkan supaya jangan ada rasa malu atau segan dalam memohon apa jua bantuan dari kerajaan.

Ariffin berkata, musibah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sehingga bantuan diperlukan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.


Justeru katanya, rakyat perlu membuang perasaan malu dan segan untuk mendapat bantauan dari agensi kerajaan berkenaan dengan syaratdan kelayakan yang telah ditetapkan.

“Pihak kerajaan akan bantu sebaik mungkin mereka yang berkenaan tetapi perlulah memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh agensi terbabit," katanya ketika berucap di majlis penyerahan cek bantuan TDI di Pusat Khidmat DUN Alur Limbat petang kelmarin.

Seramai 17 penerima mendapat bantuan termasuk  pesakit buah pinggang, kanser dan lain-lain di majlis berkenaan.

Turut hadir, Penyelia Pusat Khidmat DUN, Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail dan Pembantu Penyelia Fatimah Muhammad.

Sementara itu, seorang pesara guru, Fatimah Hassan, 57 merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana prihatin terhadap masalah kesihatan rakyat serta meluluskan permohonan untuk mendapatkan bantuan.


Beliau memohon bagi pihak kakaknya Eashah Hassan 75, yang mengidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi dan tinggal di Kampung Binjai Berambu.

Seorang penduduk dari Kampung Beladau Kepong, Mohd Alias Mat Rani, 54 yang mengidap penyakit buah pinggang dan kanser usus mengharapkan pentadbiran kerajaan hari ini lebih telus dalam mengendalikan bantuan kepada semua mereka yang berkelayakan tanpa mengira parti dan bangsa mereka.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: