Saturday, 8 December 2018

Jadilah Umat Islam Yang Mencintai Agama - Mufti Terengganu

SHARE

Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT 8 Disember -Setiap perkara yang ingin kita lakukan hendaklah dipimpin oleh agama agar kita tidak lari dan tersasar dengan kehendak Allah dan Nabi SAW, kata Mufti negeri Terengganu, Sohibus Samahah Dato' Dr Zulkifly Muda.

Beliau berkata, orang Islam perlu menjadi orang yang mencintai ilmu agama terutamanya anak-anak muda yang mana akan menjadi pemimpin pada masa hadapan.

"Sempena menyambut hari Ulang Tahun Kelahiran Nabi Muhammad SAW, saya menyeru kepada semua ummat Islam supaya menyahut seruan pertama yang diterima oleh Baginda, iaitu 'Iqra' yang bermaksud bacalah.

" Saya menyeru kepada semua supaya janganlah kita hanya menyatakan sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW di bibir mulut sahaja...kita perlu melakukan setiap perkara yang disuruh dan meninggalkan semua perkara yang dilarang oleh Baginda SAW sebagai tanda sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW yang sebenar," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Besut di Dewan Kota Putera Square, di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Haji Nurkhuzaini Ab Rahman.

Seramai 2000 orang daripada badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan serta parti-parti politik hadir pada majlis tersebut.

Tambahnya, kini orang Islam dipandang rendah kerana orang Islam itu sendiri telah meninggalkan ajaran Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

"Dan ingatlah mulianya kita hanya dengan Islam maka kembalilah kepada ajaran yang sebenarnya, "ujar Zulkifly.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: