Sunday, 16 December 2018

Ibu Bapa Bertanggungjawab Bentuk Peribadi Anak

SHARE

Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 16 Disember –Ibu bapa harus berperanan membentuk peribadi anak-anak supaya menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, setiap anak-anak itu lahir dalam keadaan fitrah dan semuanya terpulang kepada ibu bapa mereka untuk mencorakkannya sebagaimana yang telah disebut dalam hadis dari Rasulullah S.A.W.

“Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa agar anak-anak mereka tidak tergolong dalam kalangan Yahudi, Nasrani atau Majusi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup Kem Intensif Solat yang diadakan di Masjid Kampung Paya Datu anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paya Datu, kelmarin.


Turut hadir, Pengerusi MPKK Paya Datu, Mazlan Awang.

Disamping itu, beliau mengingatkan para ibu bapa agar menekankan solat kepada anak-anak seawal umur tujuh tahun sebagaimana yang ditekankan oleh agama.

Malah katanya, usaha ibu bapa menghantar anak-anak ke kem sebegitu amat digalakkan bagi mendidik permata hati tentang kepentingan solat.

“Program seperti ini sangat bagus kerana ianya akan meninggalkan kesan yang baik dalam pembesaran anak-anak khususnya dalam ibadat solat.

“Para ibu bapa mengambil satu tindakan yang sangat tepat dengan menghantar mereka ke sini di musim cuti sekolah ini," ujarnya.

Beliau juga berharap, para ibu bapa dapat memastikan kesinambungan pengisian kem berkenaan dengan menggalakkan anak-anak mengerjakan solat secara berjemaah pula.

“Sememangnya setiap ibu bapa mahukan kecemerlangan akademik setiap anak, tetapi kecemerlangan ilmu akhirat sama sekali tidak boleh diketepikan.

“Pastikan amanahNya ini menjadi anak yang soleh dan solehah, cemerlang akhlak, agama, taat kepada Allah dan Rasul, ibu bapa, guru-guru serta agama seluruhnya,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: