Saturday, 15 December 2018

Guru Lemas Di Setiu Akhirnya Ditemui

SHARE

Oleh: Abd Muhaimin muhammed, Ariss Alias

SETIU, 15 Disember 2018 - Mayat seorang guru yang lemas di Sungai Setiu, Bandar Permaisuri pada dua hari lepas akhirnya ditemui pada jam 10.15 pagi tadi.

Mangsa, Abdul Rauf Zulkurnain, 27, yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Tiara Permai di Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, mangsa telah ditemui terapung dua kilometer dari tempat terakhir mangsa kelihatan oleh Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu.

"Mayat akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," ujar beliau lagi.

Operasi pencarian terdiri daripada 74 anggota pelbagai jabatan dan agensi termasuklah PDRM Daerah Setiu, PPDA JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Setiu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Setiu, dan Jabatan Amal Setiu.


Terdahulu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Ustaz Zul Bhari A Rahman menghadiri sesi taklimat operasi menyelamat bersepadu di bilik gerakan operasi.

"Saya berharap operasi pagi ini berjalan dengan lancar serta berdoa pada Allah agar mangsa segera ditemui memandangkan cuaca pada hari ini hujan turun tidak henti-henti," katanya.


Pada 13 Disember yang lalu, mangsa mandi bersama adik dan dua rakan di Sungai Setiu, Bandar Permaisuri. Mangsa tidak dapat berenang dengan baik akibat arus kuat dan telah hilang dari pandangan dikhuatiri lemas.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: