Sunday, 2 December 2018

Guna Wang Tabung Masjid Untuk Kebersihan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Jawatankuasa Masjid disarankan memanfaatkan wang tabung yang didermakan oleh orang ramai bagi tujuan kebersihan masjid dan kawasan sekitarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, pihak jawatankuasa perlu berbincang dan menggunakan kewangan masjid untuk memastikan masjid yang ada terjaga dari segi kebersihannya.

Jelasnya, ada sebahagian masjid mempunyai kontraktor kebersihan namun bagi yang tidak ada kemudahan ini, ahli jawatankuasa perlu memainkan peranan yang sewajarnya.

"Jika mereka ini berperanan, maka sudah tentu masalah masjid kotor atau tidak terjaga dapat dihapuskan.

"Ahli jawatankuasa perlu memikirkan bagaimana nak bangunkan masjid sebagai tempat bersih yang akhirnya memperkasakan slogan kerajaan negeri iaitu Maju, Berkat dan Sejahtera," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Jawatankuasa  Masjid Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said dan Pegawai  Agama Daerah Kuala Terengganu, Ustaz Azmi Tengah.


Bagi daerah Kuala Terengganu, sijil pelantikan jawatankuasa diberikan kepada Masjid Kampung Merbau Patah, Masjid Kampung Kolam di Kuala Ibai, Masjid Al-Furqan di Chendering dan Masjid Kampung Banggol Peradong manakala untuk Kuala Nerus adalah Masjid Kampung Sungai Ikan dan Masjid Kampung Padang Hangus.

Tambahnya lagi, perbincangan juga perlu dilakukan bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan masing-masing bagi memastikan pelaksanaannya berjaya.

Beliau juga menasihatkan kepada semua ahli jawatankuasa supaya sentiasa bermesyuarat dan berbincang dalam setiap perkara yang diputuskan.

"Mesyuarat molek (baik), bincang molek sebab apa yang nak dibuat adalah untuk orang ramai.

"Hadiri kursus yang dibuat pejabat agama sekurangnya dapat ilmu, peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi dan pengalaman baharu," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: