Saturday, 8 December 2018

Graduan TESDEC Laku Keras Di Pasaran

SHARE
Sembilan graduan terbaik TESDEC meraikan kejayaan bersama.
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Laporan Audit Negara 2018 yang dibentangkan di Parlimen Malaysia baru-baru ini menyatakan lebih 85 peratus graduan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian mereka.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya merakamkan ucapan tahniah kepada institusi tersebut yang berjaya menghasilkan tenaga kerja berwibawa di lapangan.

“Tidak lupa juga ucapan tahniah kepada tenaga pengajar, ibu bapa dan seluruh warga TESDEC yang telah berusaha bersungguh-sungguh memastikan para graduan menjadi insan terpelajar bagi mengisi ruang dan pasaran kerja yang sentiasa terbuka.

“Pekerja dalam bidang kemahiran ini memang diperlukan dalam negara kita. Pendekatan 70 peratus kemahiran dan 30 peratus teori yang diterapkan TESDEC memberi kebolehpasaran kepada pelatih mereka untuk bekerja dengan lebih baik.


“Saya difahamkan ada syarikat yang telah memohon pelatih TESDEC untuk dijadikan pekerja walaupun mereka belum menamatkan pengajian.

“Bahkan, saya berjumpa dengan pelatih-pelatih yang menamatkan pengajian hari ini dan majoriti mereka memaklumkan telah bekerja dalam industri,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Graduasi TESDEC 2018 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau yang mewakili Menteri Besar turut merasmikan majlis itu dan memberi nasihat kepada graduan supaya menanamkan sikap kepimpinan, amanah dan integriti untuk melonjakkan kecemerlangan dan kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

“Anda kini menjadi cermin dan teladan dalam masyarakat. Saya harapkan para graduan berani mengambil risiko, mampu mengurus perbezaan serta bertindak dengan hikmah dan berperanan dalam komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Md. Kamaru Al-Amin Ismail memaklumkan, institusi itu akan menyediakan kursus baharu bagi tahun 2019 iaitu Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sebagai tambahan kepada 13 kursus pelbagai peringkat sedia ada.

Seramai 115 graduan TESDEC daripada tujuh kursus utama dianugerahkan sijil dalam majlis yang gilang-gemilang hari ini dengan sembilan daripada mereka dinobatkan sebagai graduan terbaik mewakili kursus masing-masing.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah TESDEC, Mat Azmi Arshad (Pegawai Daerah Marang) dan Anuar Awang (Yang Dipertua Majlis Daerah Marang).



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: