Wednesday, 5 December 2018

Fateh Dan Akademi Duat Pewaris TMBS

SHARE
Mohd Nor Hamzah.
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Program Fateh dan Akademi Duat  yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan bakal melahirkan pewaris Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, perkara tersebut termasuk dalam Bajet Terengganu 2019 yang dibentangkan baru-baru ini.

"Kalau mahu melihat sebuah negeri di masa hadapan, lihatlah belia mereka di masa sekarang," katanya.

Oleh itu, kata beliau, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) bersama Jabatan Agama, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Yayasan Islam dan lain-lain perlu lebih fokus dalam pembinaan generasi akan datang.

“Jabatan dan agensi terbabit akan menggerakkan program Fateh dan Akademi Duat yang mensasarkan orang muda dalam program mereka.

“Kita akan gerakkan ‘street dakwah’ (dakwah jalanan) bagi meningkatkan kesedaran anak muda yang melepak di tempat-tempat tumpuan seperti Taman Syahbandar, Batu Buruk dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata demikian dalam temu bual pasca Bajet 2019 yang disiarkan secara langsung melalui Manis FM semalam.

Katanya, melalui program tersebut, para pendakwah muda akan digerakkan untuk turun ke lapangan agar para belia khususnya dapat mempelajari dan mengamalkan Islam secara syumul.

Justeru, beliau menyeru semua pihak  termasuk ibu bapa supaya berperanan membantu kerajaan negeri dalam mencapai hasrat murni tersebut.

Beliau berkata, bajet yang dibentangkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan bajet berimbang.

“Bajet 2019 merupakan bajet yang seimbang dengan diperuntukkan RM2.015 bilion pada tahun hadapan.

“Kerajaan negeri menekankan pembangunan Islam dan modal insan bagi membangunkan negeri yang maju dan melahirkan masyarakat yang sejahtera,” tegasnya.









SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: