Monday, 24 December 2018

Empat Anggota TNB Terperangkap Dalam Hutan Berjaya Ditemui

SHARE

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 24 Disember - Empat anggota Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terperangkap di dalam hutan sejak semalam berjaya ditemui pada pukul 10.45 pagi tadi.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau Cawangan Dua, Anuar Omar berkata, anggota TNB masuk ke hutan kerana melakukan kerja penyelenggaraan kabel di Hutan Jerangau yang menghala ke Mengkawang.

"Mereka telah melalui jalan kabel elektrik dan tersesat. Pihak kami menerima laporan yang mereka tidak keluar bermula semalam, maka unit operasi pencarian digerakkan khas bagi mencari mangsa.

"Operasi pencarian ini melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan anggota kelab 4x4 yang terdiri daripada 60 orang," katanya.


Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Gabungan Kelab 4x4 berkata demikian kepada pemberita selepas penemuan mangsa hari ini.

Menurutnya, mangsa ditemui di dalam Hutan Jerangau dalam keadaan selamat oleh unit operasi pencarian yang bertungkus lumus mencari mangsa.


"Alhamdulillah, tiada kecederaan mahupun perkara tidak diingini terjadi. Cuma mangsa masih berkeadaan letih dan perlukan rehat yang secukupnya. Mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan susulan," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: