Wednesday, 19 December 2018

Bina Hubungan Persaudaraan Tanpa Rasa Dendam

SHARE


Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 19 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Jabi, Dr Azman Ibrahim menasihatkan masyarakat setempat terutama yang beragama Islam untuk tidak mengamalkan politik dendam sebaliknya perlu membina ukhuwah sesama insan.

Katanya, penstrukturan semula persaudaraan disemai tanpa perlu berdendam dan mengulangi perilaku buruk pada masa lalu.

“Kehidupan ini ibarat putaran roda, perlu ada sempadan selain sentiasa muhasabah diri kerana aturannya tidak selalu di atas dan tidak selamanya berada di bawah.

"Aturan Allah tiada siapa yang dapat menduga, umpamanya  enam tahun dulu pengikut parti PAS dihalang memasuki kawasan Felda Selasih, sebaliknya kini kita  dijemput berada di atas pentas, melebarkan persaudaraan dan ukhuwah bersama peneroka Felda," tambahnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu berkata demikian ketika dihubungi selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Peneroka Felda Selasih semalam.

"Alhamdulillah, Allah telah mengatur bila masa yang tepat untuk kita layak diberikan kemenangan.

"Terimalah kemenangan dengan tasbih dan istighfar serta sebarkan kasih sayang. Tiada luka dan dendam," ujarnya mengakhiri ucapan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: