Wednesday, 12 December 2018

Besut Bakal Jadi 'Mini Terengganu'

SHARE


Haji Mohd Nurkhuzaini (kiri) di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Derah Besut baru-baru ini.
BESUT, 12 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, idea cadangan (proposal) 'Venue Of Besut' seorang pemimpin bukan kerajaan akan dipertimbangkan untuk diguna pakai bagi memajukan daerah Besut sebagai 'Mini Terengganu'.

Ini kerana katanya, semua tempat menarik sebagai destinasi pelancongan terdapat di daerah itu termasuk pulau, pantai, sungai, air terjun, tasik dan air panas sekali gus ia menjadi destinasi terkenal di dalam dan luar negara jika ia dimajukan.

"Pulau Perhentian sebagai contoh memang dikenali di kalangan pelancong asing tetapi destinasi lain yang ada di daerah Besut tidak banyak didedahkan kepada pelancong menyebabkan ia kurang menjadi tumpuan kepada pelancong asing," jelasnya ketika diwawancara oleh sebuah saluran media secara langsung di sini hari ini.

Katanya daerah Besut boleh disifatkan sebagai 'Mini Terengganu' kerana apa yang ada di Terengganu ada di dearah tersebut.

Cuma jelas beliau, keindahan alam di daerah tersebut perlu diintegrasikan sehingga penduduknya turut mendapat manfaat hasil dari kedatangan pelancong luar dan dalam negeri.

"(Sebelum diintegrasikan) Pelancong datang ke Pulau Perhentian tidak dapat manfaat yang banyak kepada penduduk Besut sendiri.

"Pelancong datang 'parking' kereta di Kuala Besut dan Kampung Raja, mereka menaiki bot (untuk ke pulau itu) pergi dan balik, orang Besut hanya duduk minum di kedai kopi, mereka kira (pelancong) datang ramai, ada empat buah bas, 30 buah kereta, orang Besut hanya dapat melihat sahaja, tidak dapat manfaat untuk mereka kecuali orang di Pulau Perhentian," jelas beliau.

Justeru, Haji Mohd Nurkhuzaini mahu melihat integrasi dibuat hasil dari ratusan ribu kedatangan pelancong ke daerah tersebut untuk manfaat penduduk setempat.

Mengulas mengenai 'proposal' itu lagi, Haji Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Putera berkata, jaluran yang dibuat dalam cadangan itu adalah suatu yang menarik kerana keindahan alam yang ada di daerah itu lebih baik berbanding negara-negara luar.

"Cuma tempat kita (Besut) tidak dimajukan dan didedahkan keindahan alamnya kepada para pelancong yang berkunjung ke Besut," jelas beliau.

Cadangan itu menjelaskan tentang kawasan yang perlu dimajukan bermula dari Kampung Raja sehingga Sungai Keluang dengan keaslian alamnya masih lagi kekal termasuk pokok nipah, biawak, monyet dan hidupan sungainya.

"Semua ini bagi pelancong mempunyai nilai tersendiri dan saya bercadang untuk mengambil alih cadangan tersebut dengan beberapa pindaan," jelas beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: