Sunday, 16 December 2018

Bersukan Tanpa Abai Solat

SHARE

Oleh : Hailmey Mansor

KUALA NERUS, 16 Disember - Dalam kita berseronok melaksanakan aktiviti sukan, jangan lupa tunaikan perkara wajib  sebagai umat Islam, kata Ketua Penyelaras Pemuda DUN (PPD) Seberang Takir, Haji Mohd Fazil Wahab.

Menurutnya, aktiviti sukan antara kegiatan atau hobi yang menjadi kegemaran ramai golongan muda-mudi sehingga ada yang sanggup melupakan perkara-perkara lain bagi menjayakannya bersama rakan sebaya.

"Pun begitu, jangan dilupakan perkara wajib iaitu solat kita. Jangan sesekali kerana sukan seperti futsal ini, kita lupa tanggungjawab kepada Yang Esa.

"Saya juga mahu mengingatkan peserta bahawa tujuan kesukanan ini bukan kerana medal dan satu kemenangan atau bergelar juara pertandingan. Apa yang utama adalah tali silaturahim sesama kita,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Kejohanan Futsal Tertutup Pemuda Bukit Tok Beng, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir, Haji Zakaria Dagang dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Seberang Takir, Ustaz Muda Abdullah.


Kejohanan di Gelanggang Futsal Telaga Daing melibatkan persaingan di antara 12 pasukan.

Dalam pada itu, beliau juga ke majlis penyampaian hadiah program yang sama dianjurkan oleh Pemuda Kampung Baru di Gelanggang Futsal Kampung Baru.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: