Sunday, 30 December 2018

Beribu-Ribu Pelarian Tinggalkan Chechnya

SHARE
Haji Yahaya Ali (tengah) dan isteri serta rombongan misi menyampaikan bantuan kepada pelarian Chechnya di Poland.
POLAND, 30 Disember - Sehingga kini, beribu-ribu pelarian telah meninggalkan Chechnya ketika tentera Rusia tidak menunjukkan tanda kukuh akan meredakan serangan terhadap pejuang pemisah Islam di wilayah itu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali berkata, terdapat lebih kurang 25,000 orang pelarian Chechnya di seluruh Poland.

"Dari sini sebahagian mereka berhasrat berhijrah ke negara-negara Eropah yang lain sekiranya mempunyai peluang untuk memulakan kehidupan baru.

"Hari kedua dan terakhir lawatan kami di Poland bermula pada sebelah pagi di mana Muslim Care Malaysia mengatur misi bantuan kepada pelarian umat Islam Chechnya di Kem Targoweck sekitar Warsaw.

"Walaupun kami tak dapat masuk ke dalam kem, pihak berkuasa Poland membenarkan kami membahagikan bantuan makanan kepada 35 keluarga di depan pintu masuk kem tersebut. Kami sempat juga melawat dan membahagikan bantuan makanan kepada pelarian yang tinggal di flat," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas tentang penyertaannya dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Pelarian Chechnya di Poland yang diketuai oleh Presiden Muslim Care Malaysia, Haji Zulkifli Wahijan.

Dalam tumpuan sama, katanya, pada sebelah petang mereka melakukan program yang sama di Islamic Centre milik Muslim Care Malaysia.

"Tetapi program di sini lebih ceria dengan bacaan hafazan ayat-ayat suci al-Quran oleh kanak-kanak Chechnya dan kami adakan jamuan makan malam untuk mereka sebelum sumbangan hamper makanan diagihkan," jelasnya.


Yahaya turut memberitahu, di pusat itu, Muslim Care Malaysia bukan sekadar menghulurkan bantuan berupa makanan dan pakaian kepada pelarian tetapi aktif mengadakan kelas pendidikan agama secara berjadual terutama kepada kanak-kanak.

"Ia menjadi pusat kegiatan kemasyarakatan samada kepada pelarian (termasuk pelarian dari negara-negara lain) dan umat Islam tempatan. Ia juga menjadi tempat pertemuan di kalangan pelarian, solat Jumaat, majlis berbuka puasa dan solat tarawikh apabila tiba bulan Ramadhan dan lain-lain aktiviti.

"Walaupun lawatan kami ke Warsaw, Poland agak singkat tetapi ia cukup memberi pengajaran bahawa umat Islam mesti bersatu dan mengambil cakna nasib saudara-saudara mereka yang tertindas di seluruh dunia," jelasnya.

Hadir sama dalam misi tersebut, Penyelaras Parlimen Besut, Dr Riduan Mohd Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Pulau Pinang dan pendakwah bebas, Ustaz Nazmi Karim.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: