Thursday, 27 December 2018

Beca Bakal Promosikan Jejak Warisan Di Terengganu

SHARE
 Ustaz Ariffin Deraman, mengadakan Lawatan Kerja Menyantuni Penarik Beca & Peniaga/Pengunjung Pasar Payang bermula di Taman Syahbandar, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU, 27 Disember -Kerajaan negeri sedia menghidupkan Jejak Warisan (Heritage Tail) menggunakan pengangkutan beca yang unik sebagai tarikan dalam mempromosikan pelancongan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, pihaknya sedia mentransformasikan beca sebagai satu produk pelancongan yang boleh memartabatkan keunikan pengangkutan tradisi sesuai dengan penjenamaan semula Bandaraya Warisan Pesisir Air.

"Produk warisan ini boleh diusahakan oleh golongan muda dengan mengambil konsep perkhidmatan beca di bandaraya Melaka.

"Saya yakin beca pelancongan ini mampu hidupkan Jejak Warisan (Heritage  Trail) serta menarik lebih ramai pelancong mengenali produk-produk yang ada di sekitar bandaraya seperti Dataran Shahbandar, Pasar Payang, Kampung Cina, Pulau Wasisan dan banyak lagi menarik," katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Kepada Pemilik Beca di perkarangan Pusat Penerangan Pelancongan, Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, di sini semalam.


Seramai 47 pemilik beca menerima bayaran insentif sebanyak RM1,400 daripada Jun sehingga Disember 2018.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah dan Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Tambah Ariffin lagi, sudah tiba masanya generasi muda mengambil peluang menceburi pekhidmatan beca pelancongan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

"Kita akan adakan pelbagai kursus seperti kursus keusahawanan, kursus bahasa Inggeris, sistem lalu lintas, kursus etika kepada anak muda yang berminat untuk jadikan ia sebagai sumber pendapatan sampingan.

"Sebagai tarikan, pakej-pakej lawatan sekitar bandaraya termasuk pakej bergambar boleh diperkenalkan termasuk  strategi  yang sesuai untuk memastikan beca ini sentiasa mendapat tumpuan pelancong seperti hiasan dan sistem audio yang boleh mempopularkannya," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: