Thursday, 20 December 2018

Banjir Masih 'Termenung' Di Terengganu

SHARE
Che Adam bersama Timbalan Pengerusi MPKK Pasir Puteh, Azfar Ismail meninjau keadaan rumah di Kampung Padang Garam.
MARANG, 19 Disember - Tinjauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu ke Kampung Padang Garam, Pasir Puteh, Merchang mendapati situasi banjir ‘termenung’ yang berlaku di kawasan itu menyebabkan pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh perlu dibuka sehingga ke hari ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman menjangkakan banjir di situ hanya akan surut dalam masa tujuh hingga sepuluh hari mendatang.

“Buat masa ini, Kampung Padang Garam merupakan satu-satunya kawasan di Terengganu yang masih digenangi air banjir.

“Berkeluasan hampir 10 ekar dan dinaiki air setinggi sekitar 0.3 meter, mendapan air telah tepu menyebabkan ia tidak dapat keluar ke mana-mana.

“Berdasarkan tinjauan hari ini, kita tidak benarkan penduduk balik jika belum surut sepenuhnya kerana kita tidak tahu apa yang berada di dalam air ketika ini samada berbahaya atau tidak.

Che Adam turut meninjau keadaan di SK Pasir Puteh.
“Sebahagian besar kawasan ini adalah kawasan pertanian dan penyelesaian isu ini akan dibincangkan di peringkat pejabat daerah untuk dibawa ke peringkat negeri.

“Pihak berwajib akan mencari jalan paling sesuai dalam usaha mengekalkan kelestarian kawasan ini serta mengambil kira keadaan penduduk asal di sini kerana pada akhirnya, penyelesaian itu diharap mendatangkan manfaat kepada penduduk dan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di kawasan tersebut.

Seramai 35 mangsa terdiri daripada 12 keluarga masih ditempatkan di SK Pasir Puteh pada hari ketiga banjir daerah itu, hari ini. Manakala, pusat pemindahan lain di Terengganu telah ditutup semalam dan semua mangsa dibenarkan pulang.

Che Adam turut memaklumkan, situasi air laut pasang besar dijangka akan berlaku antara 22 sehingga 26 Disember ini.

“Jika hujan lebat dan air pasang besar pada waktu yang sama, kita jangkakan akan berlaku banjir lagi di kawasan berisiko dan mangsa pemindahan mungkin akan meningkat sehingga lebih 1,000 orang berbanding 800 mangsa pada gelombang ketiga kali ini,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Merchang, Adnan Ibrahim, 52, memaklumkan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah diarahkan  bersedia membantu pihak keselamatan sehingga keadaan pulih.

“Jawatankuasa MPKK yang dilantik telah diberi taklimat dan kursus untuk menghadapi situasi ini. Mereka memainkan peranan dengan tunjuk ajar APM dan pasukan keselamatan untuk membantu penduduk.

“Setakat ini, mereka telah menunjukkan kerja yang baik semasa memindahkan mangsa dan melaksanakan aktiviti di pusat pemindahan. MPKK akan kekal membantu mangsa di pusat pemindahan sehingga semua dibenarkan pulang,” katanya.








SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: