Wednesday, 19 December 2018

Banjir : Abdul Hadi Tinjau Keadaan PPS Terengganu

SHARE

Oleh: Aziz Hambali

MARANG, 19 Disember - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang turun padang bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir yang dipindahkan di beberapa pusat pemindahan di sekitar Marang semalam.

Katanya, beliau berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan banyak pihak dalam menghadapi banjir termasuk pengurusan bantuan banjir di sini.

"Pihak-pihak yang terlibat dilihat bersedia dan bertindak dengan cepat. Ada penyelarasan di antara penghulu kampung, badan bukan kerajaan (NGO), anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela dan sebagainya.

"Banjir sebelum ini lebih besar daripada ini, jika semua pihak bekerjasama, ianya dapat diselesaikan dengan baik untuk kemudahan rakyat insya-Allah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu tinjauan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh semalam.

Dalam tumpuan sama,  menurut Hadi, kerajaan negeri perlu mencari kawasan rendah untuk menghapuskan air takungan.

"Ini kerana dalam jangka masa panjang, air itu harus dipindahkan dari kawasan rendah dan digunakan untuk tujuan pertanian," jelasnya.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dalam satu kenyataan berkata, banjir bagi daerah Marang antaranya melibatkan Kampung Kijing, Kampung Rhu Muda, Kampung Gong Merawang, Kampung Seberang Marang, kampung kelulut, Kampung Serating, Kampung Pulau Rusa dan Kampung Alur Wan Syed.

Marang antara daerah di negeri Terengganu yang turut dilanda banjir melibatkan 615 orang mangsa dari DUN Rhu Rendang dan Pengkalan Berangan. Bagaimanapun, keadaan bertambah baik hari ini dengan hanya satu pusat pemindahan masih dibuka di SK Pasir Puteh melibatkan 35 mangsa daripada 12 keluarga.

Turut hadir dalam tinjauan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: