Wednesday, 26 December 2018

Bangunan WDI Baharu 80 Peratus Siap

SHARE



KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Pembinaan projek Bangunan Wisma Darul Iman (WDI) yang baharu di Kampung Tanjung, dekat sini, berketinggian 30 tingkat membabitkan kos RM210 juta kini lebih 80 peratus siap.

Projek di kawasan seluas 2.2 hektar dan dimulakan pada pertengahan 2017 itu, pada awalnya dijangka siap pada Mei tahun depan, bagaimanapun terpaksa dilanjutkan tempoh  sehingga Jun 2020 berikutan berdepan masalah kewangan dan beberapa  teknikal.

Pada masa sama, kelewatan itu turut berpunca daripada pertukaran projek Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kepada bangunan WDI dengan persetujuan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)  pada 24 Mei tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu Ir. Haji Che Kamaruddin Bahar, berkata pertukaran projek itu membabitkan tambahan kewangan sebanyak RM30 juta berbanding kos asal untuk membina Menara MBKT kira-kira RM180 juta.

Katanya, skop projek yang berkonsepkan moden dan klasik itu bakal dilengkapi bilik rehat di raja, kafetaria, taska, surau, gimnasium, bilik jamuan dan bilik gerakan.

“Kemudahan lain, dewan banquet berkapasiti 900 tetamu, auditorium (750 tetamu), ruangan pejabat yang boleh menempatkan 1,000 kakitangan dan hampir 700 ruang tempat letak kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat lawatan kerja kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama ahli-ahli MMKN di bangunan WDI, di Kampung Tanjung, hari ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: