Monday, 3 December 2018

Bajet 2019 Terima Respon Positif Rakyat

SHARE
Norzilawati sedang melayan pelanggan di Pasar Besar Kedai Payang.
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Bajet Negeri Terengganu 2019 berasaskan kepada kepentingan dan keperluan rakyat yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini mendapat respon positif daripada orang awam.

Rata-rata mereka yang ditemui wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini menyifatkan Belanjawan 2019 itu sebagai berimbang, komprehensif dan memberikan banyak insentif kepada rakyat terutamanya golongan sasar.

Bertemakan ‘Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera’, ianya memfokuskan kepada segenap lapisan rakyat melalui pelbagai pendekatan yang diyakini mampu memberi impak terus kepada mereka yang secara tidak langsung mengurangkan bebanan rakyat dan meningkatkan tahap kesejahteraan serta kemajuan negeri.

Bagi peniaga, Norzilawati Che Ali, 32, rakyat negeri ini mendapat pelbagai faedah daripada bajet berjumlah RM2.015 bilion yang dibentangkan.

Katanya, intipati Bajet 2019 itu juga dilihat seimbang dan terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Kerajaan negeri sangat cakna terhadap rakyat negeri ini kerana prihatin terhadap kehendak semua golongan tidak kira peniaga, bukan peniaga, orang tua, orang muda, semua diambil kira.

“Justeru, saya mengharapkan kerajaan terus kekalkan bajet yang berteraskan keberkatan, kemajuan, kebajikan dan kecekapan ini di samping terus melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa demi kepentingan rakyat,” ujarnya yang berniaga di Pasar Besar Kedai Payang.
Azhar Wahid














Sementara itu, bagi pemilik Kedai Emas Succie, Azhar Wahid, 59, Bajet 2019 bagi negeri ini dalam sektor keusahawanan yang mencecah RM21 juta memperlihatkan komitmen kerajaan negeri untuk memacu usaha mencorak budaya negeri keusahawanan di Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri begitu bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat termasuk peniaga muda dengan menyediakan banyak dana keusahawan untuk golongan ini menceburi bidang perniagaan.

“Sebagai contoh, peruntukan sebanyak RM2 juta bagi bantuan menerokai pasaran atas talian sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak muda yang aktif dengan perniagaan online.

“Dengan adanya dana untuk peniaga muda ini, mereka tidak terus berharap dan bergantung kepada makan gaji malah dapat menggalakkan golongan belia berdikari dengan sokongan kerajaan,” ujarnya.
Syarifah Haslinda














Syarifah Haslinda Syed Nor, 32, pula berpendapat, Bajet 2019 yang menyeluruh termasuk peruntukan berjumlah RM50 juta untuk membina rumah-rumah rakyat merupakan berita paling menggembirakan untuk rakyat negeri ini memenuhi impian memiliki kediaman sendiri.

“Saya sebagai rakyat Terengganu amat berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap kehendak rakyat dengan menyediakan rumah mampu milik dan sebagainya.

“Dengan adanya pemberian subsidi rumah oleh kerajaan ini secara tidak langsung dapat membantu kami penuhi impian untuk miliki rumah idaman,” ujarnya.
Muhamad Rafizi Amirul













Seorang bekas pelajar Politeknik Hulu Terengganu, Muhamad Rafizi Amirul Abd Rashid, 23, turut menyifatkan Belanjawan 2019 sangat menyeluruh kerana menitikberatkan semua aspek termasuk agama Islam, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), pendidikan, belia, keusahawanan, sukan, kebajikan, nelayan, penternak dan pertanian, pelancongan, penjawat awam, wanita serta perumahan.

“Menyentuh sukan sebagai contoh, Terengganu merupakan negeri yang terkehadapan dalam bidang ini termasuk mempunyai ramai atlet ternama seperti jaguh berbasikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa.

“Justeru, usaha kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk pembangunan sukan negeri ini secara tidak langsung dapat menyuntik semangat golongan belia untuk serius dalam bidang ini,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: