Sunday, 9 December 2018

Baitul Iman Ubah Sisi Gelap

SHARE

Ustaz Satiful bersama rombongan ketika meninjau kemudahan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Selangor.

Oleh: Muhd Lukman, Khairudin Yusof
   
Hulu Selangor, 9 Disember - Pemuda itu pernah memberontak serta terlibat dalam masalah sosial akibat terpengaruh dengan rakan sebaya sehingga disabitkan dengan kes khalwat.

Demikian sisi gelap yang ditinggalkan remaja lelaki berusia 19 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ery sebelum dia kini membina kehidupan baharu di Rumah Pemurnian Akidah Baitul Iman kelolaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ketika ditemui media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ery yang menghuni rumah perlindungan itu sejak empat bulan lalu, berkata dia sering terpengaruh dengan ajakan rakan sebaya untuk melakukan perkara negatif.

"Kalau dulu saya dipengaruhi kawan- kawan dan terlibat dalam masalah sosial, tinggal solat dan sebagainya," luah Ery.

Pun begitu, pemuda itu sangat bersyukur ditempatkan di Baitul Iman kerana dapat memperbaiki dirinya ke arah kebaikan.


Menurutnya, Baitul Iman mengubah kehidupan kelamnya kepada yang lebih baik dan mula sedar bahawa hidayah itu milik Allah SWT yang dikurniakanNya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

"Dari saya yang dulu seorang yang tinggal solat, di sini saya belajar mengaji, betulkan bacaan dalam solat daripada para pengajar.

"Ustaz-ustaz di sini juga banyak bercerita tentang kisah-kisah Nabi yang membuatkan saya insaf dan takut untuk terus berbuat dosa," katanya.

Dia juga nekad untuk melihat ibunya gembira dan bahagia dengan perubahan dirinya nanti serta mahu menjadi anak yang baik serta contoh berguna.



Seorang lagi penghuni Baitul Iman berasal dari Ajil dan hanya mahu dikenali sebagai Mat, 17, berkata, pusat kebajikan itu banyak membantu beliau berubah dan mengenal diri sendiri.

"Saya disabitkan kesalahan subahat dalam berkhalwat oleh mahkamah dan telah dihantar ke sini.

"Alhamdulillah..hasilnya dari saya tidak tahu mengaji di sini saya diajar mengenal al-Quran. Alhamdulillah, kawan -kawan, ustaz di sini juga baik dan sentiasa membantu kami untuk menjadi lebih baik.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim berharap penghuni di pusat pemulihan itu dapat menggunakan ruang dan peluang untuk bertaubat dan berubah ke arah lebih baik.

"Bila berada di sini, mereka tinggal dalam suasana agama dan dipantau oleh ustaz-ustaz yang bertauliah.

"Mungkin lebih baik mereka di sini dari mereka bersama keluarga tetapi meninggalkan suruhan dan ajaran Allah SWT, "katanya ketika ditemui pemberita dalam lawatan kerja ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, di sini, kelmarin.


Rombongan kerja selama dua hari itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Ustaz Satiful Bahri Mamat ke Rumah Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.

Turut serta, Pengarah UPDI, Ustaz Mohd Soud Said serta pegawai di  Jabatan Hal Ehwal Agama (JHEAT), Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: