Saturday, 15 December 2018

Aras Air Waspada Di Sungai Utama Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Hujan menyeluruh dan kadangkala lebat direkodkan di antara 70mm hingga 150mm di kawasan Hulu Terengganu, Marang dan Hulu Dungun.

Timbalan Pengarah Pembangunan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah berkata, sehingga kini, 1 sungai melepasi aras bahaya dan 7 sungai melepasi aras amaran atau waspada.

"Sungai melepasi bahaya, Sungai Penih di Felda Mengkawang melepasi bahaya 0.38m (bahaya 37.50m).

"Manakala sungai melepasi amaran atau waspada termasuklah Sungai Besut di Kampung Keruak, Besut, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu.

"Selain itu, Sungai Kemaman di Paya Paman, Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu
turut melepasi amaran atau waspada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas tentang info terkini keadaan banjir Terengganu.

Dalam pada itu, menurut Osman, sekiranya keadaan hujan berterusan sehingga malam ini, banjir boleh berlaku sekali lagi di kampung-kampung yang berada di kawasan rendah dan berpotensi banjir terutama di sepanjang Sungai Penih, Sungai Berang, Sungai Tersat dan Sungai Telemong.

Dalam tumpuan sama, katanya, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) telah meramalkan  banjir akan berlaku bermula esok, 16 Disember 2018 mulai jam 12.00 tengah hari di daerah Hulu Terengganu yang melibatkan 22 buah kampung kesemuanya.

"13 buah kampung di sepanjang Sungai Penih, Sungai Berang dan Sungai Tersat melibatkan Kampung Pengkalan Ajal, Kampung Paya Besar, Kampung Batu 24, Kampung Menerong, Bukit Balik Hidung, Kampung Pasir Pelata, Kampung Kua, Kampung Padang Stor, Kampung Lubuk Periuk, Kampung Cheting, Kampung Pelandan, Kampung Penih dan Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Gunung Menerong.

"9 buah kampung di sepanjang Sungai Telemong termasuklah Kampung Teris, Kampung Tok Lawit, Kampung Tengkawang, Kampung Kuala Ping, Kampung Kepah, Kampung Matang, Kampung Nibong, Kampung Paloh Nyior dan Kampung Bukit Tadok," tambahnya.

Semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan sentiasa berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) yang berhampiran.

"Keselamatan perlu dijaga terutama anak-anak perlu dielakkan daripada bermain air banjir," tegasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: