Sunday, 30 December 2018

Amaran Cuaca Buruk Di Terengganu Hingga 3 Januari Ini

SHARE
Che Adam (kanan) dan Norshilawati memeriksa 'banjir kit' sebelum diagih kepada penerima bantuan.
KUALA NERUS, 30 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) memberi amaran bahawa angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah Barat sehingga Khamis, 3 Januari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. Amaran itu dikemaskini oleh jabatan tersebut jam 9.15 pagi hari ini.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan bersedia menghadapi segala kemungkinan berlakunya banjr kerana gelombang ketiga musibah itu mungkin berlaku antara minggu pertama atau minggu kedua bulan Januari ini.

Che Adam A Rahman
Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman menasihatkan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah dan penduduk di kawasan berisiko tinggi berlakunya banjir supaya berhati-hati dengan keadaan cuaca tidak menentu itu agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Gelombang kedua banjir di Terengganu ini telah berlalu tetapi kemungkinan akan ada gelombang yang seterusnya.

"Tarikh spesisfiknya kita jangka kemungkinan berlaku minggu pertama atau minggu kedua bulan Januari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Repsol Malaysia kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu di Pejabat APM di sini hari ini.

Turut hadir Senior Consultant, External Relations and Communications, Repsol Malaysia Norshilawati Othman dan wakil Repsol Terengganu, Mohd Rafi Khori.

'Banjir kit' diserahkan secara simbolik kepada wakil penerima bantuan (kiri).

Katanya, penduduk yang berada di kawasan berisiko tinggi bencana itu sentiasa diberi nasihat oleh sekretariat pengurusan bencana peringkat daerah yang diketuai pegawai daerah masing-masing supaya bersiap siaga lebih awal jika mendapat amaran awal dari Met Malaysia.

Menurut beliau, amaran akan diberitahu sama ada air sungai atau laut naik ke paras bahaya, ataupun berlaku hujan lebat berterusan seperti yang berlaku pada 17 Disember yang lalu dalam tempoh tiga jam melebihi 100 milimeter padu (mm) di seluruh negeri Terengganu.

'Banjir kit' dipunggah keluar dari lori APM Terengganu sebelum diagih kepada penerima bantuan.
Katanya, implikasi dari musibah itu ialah banjir berlaku secara drastik (mendadak) terutamanya di kawasan bandar Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.

Dalam pada itu, Repsol Malaysia menyerahkan 50 unit 'banjir kit' kepada wakil-wakil isi rumah penerima bantuan dari beberapa daerah di tempat yang sama.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: