Tuesday, 4 December 2018

SOP Patuh Syariah Pusat Pemindahan Banjir Terengganu

SHARE


Antara 'Collapsible Tent' yang pernah disediakan di Pusat Pemindahan Banjir di Terengganu. -Gambar Hiasan.
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, menyediakan utiliti dan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk memastikan pusat pemindahan banjir patuh syariah di Negeri Terengganu.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antaranya ialah mewujudkan pengasingan mangsa banjir lelaki dan perempauan.

Menurur beliau bagi pusat pemindahan yang terdiri daripada Dewan Orang Ramai , Balairaya, Masjid dan Surau, 'Mobile Partition' (Tirai) digunakan untuk membuat pembahagian dan perasingan antara lelaki dan perempuan.

Ini katanya, bagi mengelakkan berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan di satu-satu pusat pemindahan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.

ADUN itu dalam soalannya ingin tahu persediaan kerajaan negeri ke arah menjadi model kepada pusat pemindahan mangsa banjir patuh syariah di negara ini.

Mangsa lebih selesa berada dalam 'Collapsible Tent' untuk tidur terutama kaum wanita. -Gambar Hiasan. 

Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata antara lain, kerajaan negeri juga menyediakan 'Collapsible Tent' atau khemah tertutup bagi pusat pemindahan terbuka seperti dewan orang ramai, balairaya, masjid dan surau.

"Setiap keluarga dibekalkan 'Collapsible Tent' terutama kepada keluarga yang mempunyai anak perempuan dewasa.

"Ini secara tidak langsung memberi keselesaan kepada mereka terutama sewaktu tidur dan mengelak dari pandangan orang ramai," jelasnya.

Katanya, di pusat-pusat tersebut juga disediakan ruangan solat berasingan antara lelaki dan perempuan.

Ini secara tidak langsung memberi keselesaan kepada mangsa semasa menunaikan fardhu sembahyang lima waktu.

Beliau berkata, di dewan orang ramai dan balai raya juga disediakan tempat penyalinan pakaian bagi memberi keselesaan kepada wanita yang tinggal di pusat berkenaan.

Di samping itu katanya, ruangan disediakan bagi memberi keselesaan kepada kaum ibu yang menyusukan anak.

Kerajaan negeri juga menggalakkan mangsa menunaikan sembahyang secara berjemaah.

Katanya, usaha ini dijalankan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah dalam menyediakan imam untuk memimpin solat tersebut di samping melantik ustaz untuk menyampaikan tazkirah selepas solat maghrib.

Begitu juga kerajaan negeri turut membekalkan sejadah kepada mangsa di pusat-pusat terbabit.

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: