Saturday, 29 December 2018

600 Pelajar Kemas 'Dibojeng'

SHARE



Oleh: Muhd Lukman

DUNGUN, 29 Disember -  Program 'bojeng' rambut percuma Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka yang  bermula 25 hingga hari ini di lima lokasi berlangsung meriah apabila disertai kira-kira 600 pelajar sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pengajian dan Pendidikan Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, program itu sangat membantu ibu bapa terutama yang mempunyai anak ramai sempena sesi persekolahan yang baru bermula 1 Januari ini.

"Program sebegini memang kita susun agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

"Ianya juga dijalankan susulan Program Agihan Bantuan Pakaian Persekolahan kepada lebih kurang 5,000 orang pelajar sekitar DUN Paka,"katanya selepas meninjau program itu, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ustaz Satiful yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, sebelum ini juga turut dijalankan Program Tuisyen Rakyat secara percuma untuk manfaat pelajar DUN Paka.

"Kita juga telah berjaya melaksanakan tuisyen percuma kepada para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru - baru ini.

"Ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Pemuda PAS DUN Paka, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), DACS Paka serta semua tukang gunting yang terlibat dalam menjayakan program ini, " ujarnya.


Dalam pada itu, pengarah program itu, Muhamad Farhan Yaacob turut gembira dengan sambutan daripada orang ramai yang tidak melepaskan peluang itu.

"Kita amat bersyukur kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa sebagai persiapan mereka menghantar anak - anak ke sekolah nanti.

"Alhamdulillah, ibu bapa juga menyambut baik program sebegini dan bersyukur kerana merek tidak perlu bersusah payah ke kedai gunting serta mengurangkan beban kewangan mereka.

Program yang berlangsung selama lima hari bermula 25 Disember lalu dijalankan di lima lokasi iaitu di Balai Raya Tebing Tembah, Felda Kertih Tiga, Dewan Sivik Paka, Durian Mentangau dan Ketengah Jaya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: