Thursday, 27 December 2018

500 Murid Terima Sumbangan Persekolahan TNB

SHARE
Dato’ A. Rahman Yahya (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada salah seorang murid.
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan kira-kira RM10,000 bagi memberi sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 500 murid di negeri ini menerusi program ‘Kembali Ke Sekolah’.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan Terengganu TNB, Mohd Nazri Puteh berkata, sumbangan kelengkapan persekolahan dianggarkan bernilai RM200 seorang itu diberikan kepada murid di tiga kawasan parlimen negeri ini.

“Tiga kawasan parlimen terpilih bagi menjayakan program ini iaitu Marang, Teluk Pasu (Manir) bagi parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Berang di Hulu Terengganu. Setiap murid menerima sehelai pakaian seragam, kasut, stokin, beg dan alat tulis.

“Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB kerana kita amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan terutama bagi keluar­ga yang mempunyai ramai anak,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Kelengkapan Persekolahan Back To School (Kembali Ke Sekolah) yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya di Sekolah Kebangsaan Telok Pasu, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Telok Pasu, Mohd Noor Zakaria.


Katanya, bantuan tersebut diharap dapat mendorong dan menyuntik semangat anak-anak daripada golongan kurang berkemampuan supaya terus berusaha dengan gigih untuk berjaya dalam pendidikan.

Menurut Mohd Nazri, sejak diperkenalkan pada 2013, lebih 25,000 murid sudah mendapat manfaat daripada program berkenaan yang merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif CSR TNB dalam bidang pendidikan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: