Thursday, 13 December 2018

477 Calon PT3 Terengganu Capai Semua A

SHARE
Gambar hiasan. Foto ihsan - Sinar Harian
KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Seramai 477 calon di negeri Terengganu berjaya memperoleh semua A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2018 bagi semua mata pelajaran.

Terengganu mencapai Gred Purata Negeri 2018 sebanyak 3.24 dengan seramai 19,237 calon menduduki peperiksaan tersebut membabitkan 145 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan PT3 pada jam 10 pagi tadi.


"Tahniah kepada semua pelajar cemerlang PT3 2018. Kepada yang kurang bernasib baik, jangan berputus asa. Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Jadikan kegagalan sebagai batu loncatan untuk berjaya pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu status yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini.


Dalam tumpuan sama, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin memberitahu, Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu mendominasi pencapaian terbaik dan diikuti oleh sekolah berasrama penuh.

"Bagaimanapun tiada perbandingan secara terus boleh dibuat kerana sekolah berlainan mempunyai set soalan yang berbeza. Pelaporan Pentaksiran Sekolah Menengah (PPSM) 2018 adalah gabungan 4 komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu PT3, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

"Selain PT3 , calon juga diberi sijil pencapaian dalam PBD yang dinilai oleh guru mata pelajaran masing-masing. PAJSK pula dinilai berdasarkan penglibatan dan pencapaian dalam kokurikulum dan PPsi pula dinilai berdasarkan kecenderungan dan minat calon tersebut. Keempat-empat sijil ini hendaklah dilihat bersama dalam menentukan kemenjadian calon," jelasnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: