Wednesday, 12 December 2018

4,320 Terima Bantuan Pakaian Persekolahan Di Alur Limbat

SHARE

Oleh: Ahmad Fadhilah

KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat merekodkan seramai 4,320 penerima Bantuan Pakaian Persekolahan membabitkan nilaian sebanyak RM432,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun lepas.

Katanya, setiap keluarga yang berpendapatan rendah layak  menerima tidak melebihi dua baucer pakaian sekolah dengan nilaian RM200 bagi setiap keluarga.

“Kali ini kerajaan negeri mengubah corak agihan bantuan awal persekolahan daripada bentuk  tunai kepada baucer barangan,” katanya.


Seorang ibu, Zaidah Mohd Tahar, 48, berkata, pada awalnya, dia teragak-agak untuk menerima pakaian sekolah yang diagih kerana bimbang tidak muat untuk anaknya.

Namun katanya, berbeza dengan hari ini, pihak urusetia terlebih dahulu mengukur saiz badan anak dan penerima lain sebelum mengagihkan pakaian.

“Saya bukan sahaja berpuas hati dengan menerima barangan  berjenama Canggih malah kaedah pengagihannya,”katanya.

Agihan bantuan pakaian sekolah yang diadakan di Dewan Kampung Kepong, Alur Limbat berlangsung selama tiga hari, bermula semalam dan berakhir esok (13 Disember).

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: